AZIMAN (dua dari kiri) menyampaikan cek kutipan derma untuk Pelarian Rohingya di Kompleks Agama Daerah Yan.
AZIMAN (dua dari kiri) menyampaikan cek kutipan derma untuk Pelarian Rohingya di Kompleks Agama Daerah Yan.
Nur Syazwana Mansor


Yan: Fahaman Syiah dan ajaran sesat mula dikesan diamalkan beberapa kelompok masyakarat di daerah ini hasil risikan Pejabat Agama Daerah Yan.

Pegawai Agama Daerah Yan merangkap Ketua Penguatkuasaan Agama Daerah Yan Syeikh Zainul Mukhtar Abdullah Sirajuddin berkata, hasil maklumat daripada ahli kariah di beberapa kampung di sini mendapati ada segelintir kelompok masyarakat di daerah ini yang dikesan mengamalkan amalan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam seperti fahaman Syiah dan ajaran sesat.

Menurutnya, pihaknya masih belum dapat mendedahkan lokasi kampung atau kariah yang terbabit kerana ia masih dalam peringkat siasatan.

“Kita sudah mendapat maklumat dan mengenal pasti lokasi serta individu terbabit di mana siasatan ini akan dilanjutkan ke peringkat negeri sebelum sebarang tindakan dapat diambil.

“Setakat ini, fahaman Syiah di daerah ini hanya diamalkan dalam kelompok ahli mereka saja yang terdiri daripada individu berusia 40 tahun dan ke atas namun tidak disebarkan secara meluas,” katanya ketika ditemui selepas sesi Dialog Jerai di Dewan Kompleks Pejabat Agama Daerah Yan, di sini, semalam.

Syeikh Zainul berkata, maklumat itu diperoleh daripada ahli kariah kampung yang terbabit melalui perjumpaan dan program bersama yang dilakukan pihaknya.

“Kami juga mengadakan sesi jelajah ke semua masjid di daerah ini pada setiap Jumaat bagi mengadakan perjumpaan dengan ahli kariah masjid.

“Program ini dijalankan di 34 buah masjid di daerah Yan dan mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah Yan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kedah Aziman Hassan berkata, sesi dialog yang bertajuk “Keselamatan Tanggungjawab Kita Bersama” itu adalah anjuran Jabatan Penerangan Negeri Kedah bertujuan mendapatkan maklumat daripada golongan sasaran berkaitan masalah setempat, luahan rasa hati dan harapan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 4:50 AM