Hijrahtul  (tengah) memasang alat khas pada  Wan Muhammad Firdaus sambil diperhatikan  Wan Mohd Eddy.
Hijrahtul (tengah) memasang alat khas pada Wan Muhammad Firdaus sambil diperhatikan Wan Mohd Eddy.
Ardyhansah Amat


Gombak: Impian sepasang suami isteri untuk melihat anak sulung mereka memulakan sesi persekolahan tahun ini tidak kesampaian apabila kanak-kanak berusia lima tahun itu disahkan menghidap leukemia.

Hijratul Nur Sadiah Mohd Sani, 26, berkata, anaknya Wan Muhammad Firdaus Hakim Wan Mohd Eddy Adzhar, 5, disahkan menghidap penyakit kronik itu pada awal Disember lalu, sekali gus menangguhkan persekolahannya di Tabika

“Semuanya bermula apabila terdapat lebam pada kaki anak pada November lalu.

“Bagaimanapun, selepas seminggu, kesan lebam itu bukan saja tidak hilang sebaliknya bertambah sehingga membabitkan bahagian kaki lain dan tangannya,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, semalam.

Bimbangkan keadaan itu, Hijratul dan suaminya Wan Mohd Eddy Adzhar Wan Husin, 37, membawa Muhammad Firdaus ke klinik berhampiran untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

“Doktor kemudian mencadangkan Muhammad Firdaus menjalani pemeriksaan kesihatan susulan di Hospital Selayang sebelum disahkan menghidap leukemia,” katanya.

Menurut Hijratul, luluh hatinya apabila mengetahui anak sulung daripada dua beradik itu menghidap penyakit kronik di usia yang muda apatah lagi tidak ada seorang daripada ahli keluarganya sebelum ini menghidap sakit berkenaan.

“Sejak itu, Muhammad Firdaus menjalani rawatan kimoterapi di hospital bagi membolehkannya pulih seperti sedia kala.

“Memandangkan suami bekerja di syarikat swasta selain anak yang masih belum bersekolah, kami terpaksa menanggung semua kos rawatan Muhammad Firdaus,” katanya.

Wan Mohd Eddy berkata, isterinya yang sebelum ini bekerja, terpaksa berhenti bagi menumpu sepenuh perhatian menjaga anak mereka.

“Kami memang memerlukan bantuan kewangan terutamanya bagi menampung kos rawatan Muhammad Firdaus apatah lagi saya kini hanya mempunyai pendapatan bulanan sekitar RM2,000.

“Sekurang-kurangnya, kami perlu memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM300 sebulan bagi dua kos rawatan anak tanpa membabitkan kos perbelanjaan tambahan sekiranya ada rawatan tambahan,” katanya.

Menurut Wan Mohd Eddy, selain itu, mereka juga perlu menukar lampin pakai buang Muhammad Firdaus dengan lebih kerap khususnya selepas menjalani rawatan kimoterapi.

“Saya terpaksa mengutamakan perbelanjaan untuk rawatan anak terlebih dahulu sehingga terpaksa menangguh perbelanjaan lain termasuk bayaran ansuran kenderaan yang ada.

“Mujur ada saudara-mara dan adik beradik sudi membantu menghulurkan wang bagi meringankan beban kami sekeluarga khususnya membabitkan rawatan Muhammad Firdaus,” katanya.

Sementara itu, masalah Wan Mohd Eddy dan isteri turut mendapat perhatian penduduk kampung termasuk Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung, Kampung Nakhoda, Batu Caves yang turut menyalurkan bantuan bantal dan tilam untuk kegunaan Muhammad Firdaus.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Wan Mohd Eddy sekeluarga boleh menyalurkan bantuan kewangan menerusi akaun Public Bank 4570178620 atas nama Wan Mohd Eddy Adzhar Wan Husin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2017 @ 12:13 AM