Muhammad Nur Fa'iz  gembira bermain dengan Ejen Ali sambil ditemani  Noor Asikin  di rumah mereka  di Bandar Puteri,   semalam.
Muhammad Nur Fa'iz gembira bermain dengan Ejen Ali sambil ditemani Noor Asikin di rumah mereka di Bandar Puteri, semalam.
Ayusliza Azizan


Klang: Peminat watak animasi Ejen Ali yang juga pesakit leukemia teruja dan ceria selepas maskot karakter berkenaan hadir bagi memberi semangat pada kunjungan ke kediaman keluarganya di Bandar Puteri, di sini, semalam.

Muhammad Nur Fa’iz Mohd Sofi, 5, yang juga pesakit sindrom down itu pada awalnya kelihatan malu namun akhirnya gembira apabila dapat bermain bersama Ejen Ali.

Ibunya, Noor Asikin Mahmud, 45, berkata, watak animasi berkenaan antara diminati anak bongsunya itu.

Noor Asikin yang mempunyai empat anak itu berkata, dia gembira dengan kehadiran Ejen Ali dan anaknya juga mesra walaupun pada mulanya agak terkejut.

Katanya, Muhammad Nur Fa’iz yang mesra dipanggil Faiz disahkan menghidap leukemia pada Disember lalu.

“Ketika lahir, Faiz berdepan masalah usus besar serta usus kecilnya tidak bersambung dan pembedahan segera dijalankan, selepas berusia lima bulan Faiz dapat membuang air besar secara normal.

“Faiz juga perlu menjalani rawatan susulan enam bulan sekali dan daripada rawatan itu, doktor mengesahkannya menghidap leukemia,” katanya yang juga guru Pendidikan Khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Unjur, Bukit Tinggi, Klang.

Noor Asikin berkata, kini anaknya itu sudah menjalani empat rawatan kimoterapi.

Selain itu, Fa’iz turut mengalami masalah pendengaran.

Sementara itu, Pengarah Seni Wau Animation Fuad Md Din berkata, mereka mendapat tahu mengenai minat Fa’iz terhadap Ejen Ali melalui keratan akhbar berkaitan pertemuan kanak-kanak berkenaan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Tujuan kita adalah untuk memberi semangat kepada adik Fa’iz dan kita cukup puas hati kerana melihatnya begitu gembira dapat bertemu dengan Ejen Ali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 5:11 AM