CHE Abdullah
CHE Abdullah
Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: “Jangan cuba susuk (sembunyi) ternakan! Kerana itu hanya menyebabkan wabak ini terus merebak,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau memberi peringatan itu kepada penduduk negeri ini terutama penternak supaya tidak menyembunyikan haiwan jenis unggas ketika ini berikutan usaha pembasmian wabak selesema burung yang sedang dilakukan secara optimum.

Katanya, orang ramai juga dinasihati bekerjasama dengan pihak berkuasa kerana wabak itu yang disebabkan virus Avian Influenza (H5N1) berisiko membahayakan kesihatan.

“Kita minta kerjasama penduduk terutama di kawasan terbabit dengan kerja kawalan H5N1 yang dijalankan pihak berkuasa supaya tidak ambil tindakan sendiri.

“Pada masa yang sama, penduduk jangan cuba susuk (sembunyikan) ayam (atau haiwan unggas lain) kerana ia boleh tambahkan kesusahan untuk membasmi penularan wabak ini.

“Sekiranya ada individu yang dikesan berbuat demikian, mereka boleh dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Ditanya mengenai dakwaan pampasan terlalu rendah diberikan kepada penternak yang ternakan mereka dilupuskan, Che Abdullah berkata, jika penternak tidak bekerjasama, ia akan lebih menyebabkan kerugian besar.

“Kalau penyakit ini tidak dikawal akan berlaku kerugian lebih besar. Kita nak isytihar bebas daripada H5N1 secepat mungkin supaya mereka boleh jalankan urusan mereka.

“Kalau mereka tidak beri kerjasama terhadap kawalan yang dijalankan, ia (wabak) akan menular lebih jauh menyebabkan lebih banyak jangkitan (terhadap) unggas, sekali gus mengambil masa lama untuk dipulihkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 8:42 AM