AHMAD Shabery melihat proses pengambilan sampel oleh anggota  JPV, semalam.
AHMAD Shabery melihat proses pengambilan sampel oleh anggota JPV, semalam.

Kota Bharu: Penternak ayam diminta memberi kerjasama kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dalam usaha untuk mencegah penularan wabak selesema burung (H5N1) di negeri ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, penternak perlu melaporkan terus kepada pihak berkaitan sekiranya mendapati ternakan mati secara tiba-tiba dan tidak mengambil tindakan sendiri.

Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan ganti rugi melalui skim yang disediakan kepada penternak iaitu RM10 untuk seekor ayam, puyuh dan lain-lain unggas dilupuskan.

“Penduduk tidak perlu panik kerana kita mengambil langkah profesional untuk mengelakkan virus daripada merebak dan kita perlukan kerjasama seluruh penduduk di negeri ini untuk memberi maklumat kepada JPV.

“Untuk mengurangkan kerugian, kita menyediakan ganti rugi terhadap setiap ternakan dilupus iaitu RM10 untuk seekor ayam, puyuh ada bayarannya dan kalau ada ayam istimewa, nilai lebih RM10,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Kamarudin Md Isa; Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Md Alwi Che Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 6:47 AM