SUSPEK yang ditahan kerana memiliki dan menyalah guna dadah di Flat Sri Selangor.
SUSPEK yang ditahan kerana memiliki dan menyalah guna dadah di Flat Sri Selangor.
Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpu: Kawasan Flat Sri Selangor di Jalan San Peng, di sini, ibarat ‘pasar dadah’ apabila dikesan menjadi pusat jual beli pelbagai jenis bahan terlarang itu di ibu kota.

Malah, dalam operasi Ops Tapis yang dijalankan polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, sejak 23 Januari lalu, mendapati purata 11 individu ditahan setiap hari di kawasan berkenaan.

Penagih dan pengedar dadah dari serata ibu kota, malah ada yang sanggup datang dari luar ibu kota semata-mata mahu mendapatkan bekalan di ‘pasar’ itu.

Ini terbukti apabila seorang lelaki berusia 50-an sanggup mengharungi perjalanan sejauh kira-kira 60 kilometer dari Negeri Sembilan hanya untuk mendapatkan dadah di lokasi itu untuk melepaskan gian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Habibi Majinji berkata, lokasi Flat Sri Selangor yang strategik menjadi pilihan kepada pengedar dan penagih dadah menjadikan flat itu sebagai transit.

“Masalah ini sudah lama berlarutan, namun jika dibandingkan sebelum ini, keadaannya lebih terkawal sejak Balai Polis Kenangan ditempatkan di kawasan ini.

“Dalam operasi khas bersepadu dilakukan sejak 15 hari lalu, seramai 174 tangkapan pelbagai bangsa dan rampasan pelbagai jenis dadah berjaya dihasilkan,” katanya ketika sidang media sejurus Ops Tapis, petang semalam.

Beliau berkata, dalam operasi itu juga pihaknya merampas 23.19 gram heroin, 2.3 gram syabu dan 1.9 gram ganja yang dianggarkan bernilai RM1,550.

“Hasil siasatan mendapati semua pengedar yang ditahan mendapat bekalan dari luar kawasan IPD Dang Wangi untuk dijual secara kecil-kecilan kepada penagih setempat yang dikenali.

“Aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan ini menjadi strategik bagi mereka kerana keadaan blok yang berdekatan serta jalan keluar masuk dari beberapa arah serta infrastruktur pengangkutan seperti stesen LRT dan perhentian bas yang membolehkan penagih dadah mudah memasuki kawasan ini.

“Usaha mengesan dan menangkap pesalah dadah di kawasan ini akan diteruskan dan kami memohon penduduk setempat bagi menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah,” katanya.

Jelas beliau, semua tangkapan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut mengikut 39B, 39A(1), 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 6:06 AM