DR Maszlee menyantuni murid Sekolah Kebangsaan Bukit Tok Beng ketika  melawat sekolah itu, semalam.
DR Maszlee menyantuni murid Sekolah Kebangsaan Bukit Tok Beng ketika melawat sekolah itu, semalam.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memastikan projek pembinaan sekolah baru dan kerja menaik taraf sekolah daif yang terbengkalai di seluruh negara diselesaikan sebanyak mungkin sebelum akhir tahun ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, hasil pemantauan KPM mendapati banyak projek pembinaan sekolah baru dan kerja naik taraf sekolah daif di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak terbengkalai.

Beliau berkata, kementerian memberi jaminan menyelesaikan seberapa banyak projek terbengkalai dan terbiar itu dengan menggunakan peruntukan sedia ada.

“Saya akan turun padang dan memantau pelaksanaan semua projek pembinaan sekolah baru dan kerja naik taraf bangunan sekolah daif yang terbiar ini termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Tok Beng, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Dr Maszlee yang mengadakan siri lawatan ke Terengganu tidak memperincikan jumlah sekolah baru dan jumlah sekolah yang menjalani proses naik taraf bangunan di seluruh negara yang terbengkalai.

Pada pembentangan Bajet 2018 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, November lalu, kerajaan memperuntukkan RM2.5 bilion dengan pecahan RM500 juta untuk sekolah daif di Semenanjung manakala RM2 juta bagi sekolah di Sabah dan Sarawak.

Difahamkan, 2,000 sekolah di seluruh negara yang berada dalam keadaan daif seperti mengalami masalah kebocoran atap, lantai rosak, dinding berlubang serta peralatan pembelajaran tidak berganti.

Ketika ditanya mengenai peruntukan meneruskan projek itu, Dr Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, perbelanjaan sedia ada digunakan untuk melaksanakan projek itu.

Mengulas mengenai sekolah wawasan, beliau berkata, KPM akan berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai cadangan mewujudkan sekolah wawasan yang dilaporkan mengetengahkan sistem pendidikan bagi membolehkan semua jenis sekolah Tamil dan Cina diletakkan di dalam satu kompleks bagi mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 4:10 AM