Siti Rohana Idris


Tumpat: Insiden diserang strok pertengahan Disember tahun lalu menyebabkan suri rumah dari Kampung Cherang Melintang, di sini, gagal menguruskan diri sendiri sekali gus terpaksa mengabaikan rumah tangga.

Nor Maizatul Akma Abdul Sharif Falaki, 37, dari Kampung Cherang Melintang, di sini juga terpaksa bergantung kepada suaminya, Mohd Riduan Shah Shafie, 35, disebabkan keadaannya yang tidak boleh berjalan sebaliknya hanya mengengsot atau berjalan untuk melakukan rutin harian.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, setiap kali ingin ke tandas, dia perlu menghubungi suaminya walau sedang bekerja di sebuah kolej komuniti di Pasir Pekan sebagai pengawal keselamatan agar pulang untuk mengangkatnya.

"Tandas terletak di luar rumah dan kadangkala jika tidak memakai lampin pakai buang disebabkan kekangan kewangan, saya terpaksa 'menyusahkan' suami yang sedang bekerja dan memintanya pulang sekejap.

"Keadaan ini berterusan sejak enam bulan lalu dan suami tidak pernah mengeluh walau terpaksa berulang-alik sejauh 15 kilometer antara rumah dengan tempat kerja kerana saya tidak boleh turun dari tangga dan berjalan keluar, malah anak juga masih kecil untuk bergantung harap," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini, selepas menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society.

Serangan strok juga menyebabkan pertuturan Nor Maizatul menjadi sedikit pelat dan segala kerja rumah digalas suaminya termasuk memasak.

Bukan itu sahaja, selain terbeban dengan masalah kesihatan, Nor Maizatul ketika ini menghuni rumah pusaka dibina daripada zink serta kayu yang sangat daif bersama keluarga.

"Ketika hujan, kami lima beranak biasanya akan duduk di pangkin berhampiran dapur kerana ruang itu tidak terkena tempias air tapi dalam masa yang sama risau jika bumbung zink diterbangkan angin kerana sudah kerap berlaku sedemikian," katanya.

Nor Maizatul memaklumkan mereka ada membina kediaman sendiri namun terbengkalai sejak lebih tiga tahun lalu disebabkan tiada wang mencukupi untuk meneruskan pembinaan.

Dia berkata, rumah itu dibina apabila suaminya mengeluarkan simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM20,000 dan turut menerima sedikit bantuan daripada pemimpin tempatan.

"Namun rumah tetap juga terbengkalai dan masih banyak yang perlu disiapkan. Tidak tahulah sama ada rumah itu dapat disempurnakan atau tidak kerana memang kami tidak dapat membuat simpanan, lebih-lebih lagi keadaan saya sebegini yang memerlukan kewangan lebih," katanya.

Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi Nor Maizatul di talian 0102767802

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 1:58 PM
NOR Maizatul Akma yang diserang strok enam bulan lalu terpaksa mengengsot untuk bergerak. FOTO Siti Rohana Idris
NOR Maizatul Akma yang diserang strok enam bulan lalu terpaksa mengengsot untuk bergerak. FOTO Siti Rohana Idris