HAMZAH (tengah)  bersama  penerima sijil pertandingan Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif 2016 pada  majlis Perhimpunan Bulanan KPDNKK, semalam.
HAMZAH (tengah) bersama penerima sijil pertandingan Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif 2016 pada majlis Perhimpunan Bulanan KPDNKK, semalam.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Usaha mengekang penyeludupan dan ketirisan barangan bersubsidi ke luar negara dijangka dapat diperketatkan lagi menerusi kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerjasama secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu akan membantu menambah kekuatan anggota penguat kuasa yang kini hanya berjumlah 2,500.

Katanya, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung cadangan itu dan kedua-duanya bersetuju.

“Kertas kerja berhubung konsep NBOS sedang diperincikan dan dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri awal Januari depan untuk mendapat kelulusan.

“Perincian itu perlu dilakukan kerana kebanyakan anggota RELA dan APM berkhidmat secara sambilan, jadi kita perlu melihat macam mana kaedah yang boleh digunakan untuk menggunakan perkhidmatan mereka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KPDNKK di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri, Datuk Henry Sum Agong dan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh.

Hamzah berkata, selain mengekang penyeludupan, kekuatan kira-kira tiga juta anggota RELA dan 10,000 anggota APM amat diperlukan dalam operasi yang dilaksanakan penguat kuasa KPNDKK.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 10:17 AM