SUSPEK yang melarikan enam kotak rokok ditangkap dalam serbuan polis.
SUSPEK yang melarikan enam kotak rokok ditangkap dalam serbuan polis.
Shamsul Munir Safini

Bukit Mertajam: Lagak selamba seorang lelaki yang masuk dan melarikan enam kotak rokok di rak kaunter sebuah kedai serbaneka 24 jam mengundang padah apabila dicekup polis, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi di Jalan Anston, di sini, Ahad lalu, seorang lelaki berusia 24 tahun dengan selamba berjalan masuk ke dalam kedai itu sebelum melarikan enam kotak rokok dari rak kaunter sebelum dikejar pekerja premis berkenaan.

Difahamkan, lelaki berkenaan turun dari sebuah kereta yang berhenti di hadapan kedai itu sebelum berjalan masuk ke dalam kedai serbaneka berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, selepas menyedari tiada orang di kaunter, suspek bertindak masuk ke dalam kawasan kaunter sebelum melarikan enam kotak rokok yang diletakkan di atas rak.

“Suspek kemudian berjalan perlahan sebelum melarikan diri dari kedai selepas menyedari pekerja melihat tindakannya itu.

“Dia melarikan diri menggunakan kereta yang dinaiki bersama dua rakannya. Bagaimanapun, pekerja kedai seorang warga asing sempat mengejar suspek dan mencatat nombor pendaftaran kereta.

“Sejurus kejadian mangsa membuat laporan polis sebelum satu siasatan dijalankan di lokasi kejadian,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, perbuatan suspek berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV di premis berkenaan sebelum usaha memburunya dijalankan.

Beliau berkata, hasil siasatan polis berjaya mengesannya sebelum menyerbu sebuah rumah di Taman Sukun, di sini, jam 8.50 pagi kelmarin sebelum menahannya.

Beliau berkata, mangsa berjaya mengecam wajah suspek semasa kawad cam dan ia sama seperti yang dirakam CCTV di premis berkenaan menyebabkan suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 10:35 AM