Bukit Beruntung: Sepasang penjenayah bersenjatakan parang bertindak nekad merompak sebuah kedai serbaneka di Jalan Orkid D/2, Bukit Sentosa di sini.

Dalam kejadian jam 8.16 malam kelmarin, suspek sengaja memakai kemeja-T dan topi keledar untuk melindungi identiti mereka.

Pengurus kedai itu yang hanya mahu dikenali sebagai Hasrina, 33, berkata, kejadian berlaku ketika dua pekerja sedang bertugas di dalam premis itu.

“Pada mulanya seorang perempuan memakai topi keledar bertanya harga kad tambah nilai RM10 sebelum memberitahu mahu membeli dua keping kad.

“Tidak lama kemudian, seorang lelaki memakai topi keledar masuk ke dalam premis sebelum mengacukan parang ke arah pekerja terbabit dan meminta wang,” katanya.

Menurutnya, suspek turut menolak jatuh seorang pelanggan wanita dan merampas wang tunai di dalam laci jualan berjumlah RM165.

“Pada masa sama rakan wanita itu mengambil 50 kotak rokok dari rak di belakang kaunter bayaran.

“Pelanggan wanita yang ketakutan bertindak lari tanpa sempat mengambil baki duit pembelian kad tambah nilai berjumlah RM39.40,” katanya.

“Saya dapat tahu penjenayah perempuan itu pernah melakukan samun dengan cara sama di sebuah kedai serbaneka lain tetapi dipercayai dengan lelaki lain pada 28 April lalu,” katanya.

Sementara it, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, polis sudah mengenal pasti identiti kedua-dua suspek namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Tindakan suspek berjaya dirakam menerusi Kamera Litar Tertutup (CCTV),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:06 AM