Rakaman CCTV menunjukkan lelaki melakukan samun dengan membawa pedang samurai (Gambar kiri) dan pedang samurai yang dirampas polis (Gambar kanan) FOTO Ihsan PDRM
Rakaman CCTV menunjukkan lelaki melakukan samun dengan membawa pedang samurai (Gambar kiri) dan pedang samurai yang dirampas polis (Gambar kanan) FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


BERBEKALKAN pedang samurai, seorang lelaki aktif melakukan samun di kedai serbaneka 24 jam dan stesen minyak di daerah Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam dalam tempoh 18 jam.

Sasaran lelaki terbabit pula hanya rokok dan wang tunai namun selepas empat kali melakukan samun sejak semalam dan awal pagi hari ini, dia akhirnya dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam kejadian pertama 8 pagi semalam, suspek berusia 23 tahun masuk ke dalam kedai sebuah stesen minyak di Seberang Jaya.

Menurutnya, suspek meminta tiga kotak rokok dan juruwang wanita berusia 24 tahun yang bertugas ketika itu memberikan rokok kepadanya tanpa mengesyaki apa-apa.

“Bagaimanapun, suspek tidak membayar dan terus melarikan diri membuatkan mangsa melaporkan kejadian kepada polis,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, suspek kemudian cuba menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Jelawat 12.30 tengah malam semalam.

“Suspek meminta mahu membeli 20 kotak rokok namun juruwang lelaki yang bertugas curiga selepas melihat pedang samurai terselit di belakang badannya.

“Menyedari perbuatan jahatnya sudah diketahui, suspek yang memakai baju berpenutup kepala (hoodie) itu keluar dari premis itu manakala pekerja berkenaan terus menghubungi polis,” katanya.

Menurutnya, suspek selepas itu pergi pula ke sebuah kedai serbaneka 24 jam di Taman Pauh Indah 1 pagi dan menyamun 40 kotak rokok serta wang tunai RM36.

“Suspek juga turut menyamun kedai serbaneka 24 jam di Taman Chai Leng tidak lama selepas itu dengan mengacukan pedang samurai kepada juruwang.

“Dalam kejadian itu suspek melarikan 75 kotak rokok bernilai RM1,193 dan wang tunai RM161,” katanya.

Menurutnya, polis yang menerima maklumat menjalankan siasatan dan berjaya mengesan serta menahan suspek 5 pagi di Flat Ampang Jajar, Butterworth.

“Semakan mendapati, suspek mempunyai dua rekod lampau membabitkan kes jenayah dan satu kes dadah.

“Polis turut merampas sebilah pedang samurai yang digunakannya dan suspek turut mengaku melakukan semua perbuatan samun itu,” katanya.

Menurutnya, suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 392/397 KK.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 5:47 PM