Nur Izzati Mohamad


KEKASIH yang bersenjatakan parang dan pisau melarikan 16 kotak rokok pelbagai jenama dan wang tunai RM74.75 dalam kejadian samun di kedai serbaneka 24 jam dekat Taman Inderawasih, Bukit Mertajam, Rabu lalu.

Dalam kejadian 3 pagi itu, dua suspek yang memakai topi keledar bervisor gelap bertindak masuk ke premis berkenaan dengan mengacukan senjata ke arah dua pekerja kedai sebelum melarikan sejumlah rokok dan wang tunai.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, dalam kejadian itu, dua suspek itu masuk ke dalam kaunter pembayaran dan memaksa pekerja kedai membuka mesin wang.

“Bimbang dicederakan suspek yang mengacukan senjata, pekerja berkenaan menuruti kata-kata dua suspek itu.

“Suspek melarikan 16 kotak rokok pelbagai jenama bernilai RM260 dan wang tunai RM74.75,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Jelasnya, melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek terus beredar keluar dari premis dan identitinya tidak dapat dikenalpasti memandangkan memakai topi keledar bervisor gelap.

“Pemeriksaan CCTV juga tidak menemui kenderaan yang dinaiki suspek namun siasatan lanjut bagi memburu kedua-dua suspek itu giat dijalankan,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian itu apabila pekerja tidak berani melawan

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Tindakan dua suspek itu kemudian tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 4:26 PM