GAMBAR lama yang kaya memori dibingkai kemas di dinding.
GAMBAR lama yang kaya memori dibingkai kemas di dinding.
HASSAN kini memiliki 30,000 koleksi buku peribadi yang disimpan di GAL.
HASSAN kini memiliki 30,000 koleksi buku peribadi yang disimpan di GAL.
Muhamaad Razis Ismail

Ada yang menganggap ia kerja remeh apabila perlu menyimpan satu persatu buku daripada usia kanak-kanak hingga menjengah lebih separuh abad.

Lebih rumit apabila buku terbabit didokumentasinya mengikut konsep pengurusan simpanan sering diamalkan di perpustakaan. Sesetengah orang pula tidak sanggup mengorbankan sebahagian ruang dalam rumah sebagai bilik khas untuk bahan bacaan.

Namun, berlainan buat Datuk Hassan Harun, 71, yang juga pengasas Kolej Wadi Sofia, Binjai, Kota Bharu apabila gemar menyimpan semua buku daripada usianya tujuh tahun hingga kini.

Baginya, setiap buku mempunyai nilai sentimental buat dirinya, perlu dijaga sebaik mungkin dan tidak wajar dipinggirkan begitu saja.

“Sehingga kini saya mempunyai lebih 30,000 koleksi buku peribadi disusun rapi dan saya penuhkan dalam galeri perpustakaan ini yang saya namakan Gallery Archive & Library (GAL).

“Selain buku, saya gemar mengumpul gambar lama bersama keluarga dan pemimpin negara selain surat, dokumen dan resit lama yang mempunyai nilai estetika tersendiri.

“Ada yang sudah seusia saya pun koleksi ini, malah mungkin sebahagiannya lebih tua daripada saya,” katanya ketika ditemui di banglo miliknya yang menempatkan GAL, di sini.

Ketelitian Hassan terhadap koleksinya membuatkan beliau hanya percaya kepada dirinya saja untuk menyusun bahan itu.

“Majoriti buku saya berkaitan kepada minat iaitu politik, keusahawanan dan pendidikan,”katanya.

Ceritanya, buku pertama dikumpulnya adalah buku tulis ketika beliau bersekolah rendah sekitar 1953.

Antara sebab beliau mengumpul dan menyimpan bahan berkenaan juga kerana hobinya membaca.

“Dahulu ketika sekolah rendah, keluarga orang susah, jadi saya sanggup berlapar untuk mengumpul wang sedikit demi sedikit untuk membeli buku.

“Alhamdulillah pada 2013 saya membuka galeri ini untuk menempatkan koleksi peribadi saya,” katanya.

Hassan mengakui apabila perlu bekerja di luar kawasan termasuk luar negara, beliau hanya mengisi beberapa helai pakaian manakala sebahagian besar beg diisi dengan buku yang dibeli.

Bapa kepada tujuh anak ini berkata, beliau mewarisi tabiat arwah ibunya, Sepiah Salleh yang cukup teliti dalam menyimpan semua barangan.

“Biarpun ibu tidak berpendidikan tinggi, sejak kecil lagi semua buku dan koleksi peribadi saya, arwah akan simpan dengan baik.

“Menerusi koleksi ini saya dapat kongsi sejarah hidup kepada anak dan cucu saya,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 5:14 AM