AMIR Hamzah bersama  sebahagian daripada ribuan buku terpakai di premisnya yang terletak di Kampung Senang.
AMIR Hamzah bersama sebahagian daripada ribuan buku terpakai di premisnya yang terletak di Kampung Senang.
BERNAMA

Kota Bharu: Terletak jauh daripada kesibukan serta hiruk-pikuk kota, sebuah premis di pinggir Jalan Sultan Omar, Kampung Senang di sini mungkin kelihatan biasa pada pandangan umum.

Namun, sebaik kaki melangkah masuk, pandangan pasti berubah apabila melihat ribuan bahan bacaan ditawarkan di Kopi Buk, satu daripada dua kedai buku terpakai di Kota Bharu.

Pemilik Kopi Buk, Amir Hamzah Abdul Shukor berkata, beliau menjual barangan terpakai seperti buku, majalah serta barangan antik bermula 2015, selepas terbabit dalam Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dengan sebuah syarikat swasta di Kota Bharu.

"Sebelum itu saya memang ada mengumpul pelbagai barangan antik, buku dan majalah sebagai koleksi peribadi, selepas VSS saya dan isteri mengambil keputusan menjual koleksi itu sebagai sumber pendapatan, rupa-rupanya memang ada pasaran untuk barangan terbabit.

"Saya terus perniagaan ini dengan menyertai pasar karat di sekitar Kota Bharu dan beberapa negeri lain sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ketika itu semua perniagaan ditutup. Bahan paling senang untuk dijual ialah buku, senang dapat dan mudah jual, jadi saya fokus menjual buku terpakai bermula 2020," katanya.

Menurut Amir Hamzah selepas mengambil keputusan fokus kepada menjual buku terpakai, beliau dan isteri mengubah bahagian stor rumah ibu mentuanya untuk dijadikan Kopi Buk.

Bagi peminat buku terpakai, Kopi Buk pasti lokasi 'menyelam' buat mereka mencari bahan bacaan idaman hati.

Amir Hamzah berkata, ketika ini, beliau memiliki puluhan ribu buku, majalah, komik dan pelbagai bahan bercetak lain seperti surat khabar, risalah serta buletin.

"Di Kopi Buk, ada pelbagai koleksi buku seperti genre ilmiah, sastera, sejarah dan novel.

"Bahan ini saya peroleh daripada pelbagai sumber, sama ada beli daripada orang perseorangan, secara pukal daripada syarikat, sekolah, perpustakaan malah ada juga yang datang jual atau beri sahaja terus di kedai ini," katanya.

Ujar Amir Hamzah, pelanggan Kopi Buk terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan mereka membeli secara dalam talian dari seluruh negara atau datang terus ke premis berkenaan.

"Ada pelanggan beli buku terpakai kerana nilai sentimental, mereka beritahu masa kecil dahulu tak sempat nak beli atau tiada wang ketika itu.

"Antara bahan bacaan terpakai yang mendapat permintaan tinggi ialah novel, komik dan majalah hiburan seperti URTV, Mangga dan Hai," katanya sambil menambah buku jualannya turut pernah dibeli pelanggan dari Thailand.

Amir Hamzah berkata, harga jualan buku terpakai ditetapkan berdasarkan harga pasaran semasa.

"Buku sudah lama diterbitkan, sukar diperoleh membuatkan harganya semakin mahal.

"Buku paling murah saya jual ialah pada harga 80 sen manakala buku paling mahal pernah saya jual ialah Sejarah Kerajaan Melayu Patani yang ditulis pada 1959, saya jual pada harga RM800 di Kuala Lumpur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 7:02 AM