SEMUA kucing dipelihara tinggal di belukar jika dua beradik itu dirawat di hospital.
SEMUA kucing dipelihara tinggal di belukar jika dua beradik itu dirawat di hospital.

Segamat: “Kami tidak pernah rasa terbeban memelihara kucing ini, bahkan ada saja rezeki datang bergolek untuk mereka dan kami berdua,” kata Esah Mansur, 80, yang berkongsi kisah hidupnya memelihara puluhan kucing gelandangan di rumahnya di Kampung Tekam di sini, semalam.

Sifat penyayang dan prihatin terhadap nasib haiwan berkenaan menyebabkan kediaman warga emas itu bersama adiknya, Fatimah Mansur, 70, yang duduk berjiran kerap didatangi haiwan berkenaan silih berganti bagi mendapatkan perlindungan sementara.

Bahkan perasaan sayang terhadap haiwan itu menyebabkan kedua-dua pasangan adik-beradik itu mengasingkan sebahagian wang bantuan RM300 yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan untuk makanan haiwan peliharaannya.

Meskipun sedar kekuatan diri terbatas, kedua-dua beradik warga emas yang berstatus ibu tunggal itu tetap menggagahkan diri menyambung kasih kepada haiwan berkenaan sejak kehilangan suami masing-masing belasan tahun lalu.

Esah yang juga kakak berkata, dia dan adiknya melalui perjalanan hidup yang hampir sama dengan masing-masing kehilangan suami.

“Suami kami meninggal dunia sejak belasan tahun lalu, kami menetap berjiran, mengalami sakit urat saraf di bahagian kedua-dua kaki, bahkan penerima bantuan JKM Segamat dan paling penting, kami amat sayangkan kucing.

“Sebab itu, kami tidak berkira soal makanan haiwan ini, malah sanggup mengasingkan sedikit jumlah wang bantuan JKM RM300 pada setiap bulanan bagi membeli makanan kucing gelandangan, selain menampung kos ubat haiwan itu,” katanya.

Katanya, tanpa mengira masa ada saja kucing datang ke rumahnya menyebabkan dia dan adiknya memastikan haiwan berkenaan tidak kelaparan.

“Sebab itu, kami tidak pernah culas memberikan makanan pada waktunya ,” katanya berkongsi pengalaman menjaga kucing berkenaan.

Katanya, menghairankan ratusan ekor kuncing gelandangan muncul secara tiba-tiba berkeadaan kurus kering dan tidak sihat ke rumah mereka.

“Selepas diberikan makanan dan rawatan untuk beberapa hari, kucing ini akan menghilangkan diri seolah-oleh mengetahui keadaan kehidupan kami yang amat sederhana,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, 20 kucing jantan dan betina yang mencecah usia lima tahun masih kekal menetap bersamanya.

“Kucing ini akan silih berganti daripada generasi ke generasi dan jika tidak di kediaman saya, ia juga akan tinggal di kediaman adik.

“Sebagai balasan kucing ini akan bertindak sebagai ‘penjaga’ kami itu sejak belasan tahun lalu termasuk ancaman haiwan berbisa dari belukar berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 9:21 AM