HAIWAN gelandangan yang ditangkap akan dirawat sebelum ditawarkan dalam program keluarga angkat.
HAIWAN gelandangan yang ditangkap akan dirawat sebelum ditawarkan dalam program keluarga angkat.
Zaitie Satibi

Bermula dengan menyelamatkan anak kucing jatuh dalam longkang dan merawat kucing lain yang cedera akibat dilanggar 17 tahun lalu menjadi titik tolak kepada Arie Dwi Andika untuk bergiat aktif dalam usaha melindungi haiwan.

Beliau ketika itu masih bergelar pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, namun memiliki kesedaran dan sifat kasihkan haiwan yang tinggi sehingga sanggup berhabis wang ringgit semata-mata ingin berbakti kepada haiwan.

Simpati terhadap haiwan yang terabai di jalanan turut mendorong beliau tekad memikul tanggungjawab untuk mengurangkan kesengsaraan haiwan terbabit dan memastikan makhluk Tuhan itu juga dapat menikmati kehidupan lebih baik.

“Selepas menyelamatkan anak kucing jantan yang kemudiannya dipelihara sendiri, saya aktif menyertai program kembiri kucing anjuran Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA).

“Selepas tamat pengajian saya membuka Pusat Pengurusan dan Penjagaan Kucing Ikhlas (PPPKI) pada 2006 yang menawarkan khidmat asrama kucing, dandanan, jualan makanan dan aksesori haiwan serta turut bertindak sebagai pusat perlindungan kucing terbiar.

“Dua tahun kemudian saya menubuhkan Persatuan Peminat Kucing Kuala Lumpur dan Selangor, di samping menyertai jawatankuasa Persatuan Peminat Kucing Malaysia. Menerusi persatuan ini, saya banyak menganjurkan pertandingan kucing antarabangsa bertujuan mendidik mereka yang memelihara kucing supaya menjaga kesihatan dan kebersihan haiwan itu,” katanya.

Sememangnya haiwan juga berhak menerima layanan baik daripada manusia dan ini mendorong Arie untuk mengasaskan persatuan yang melindungi kebajikan haiwan keseluruhannya dan Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) yang menggabungkan persatuan kecil, pusat perlindungan dan kumpulan penyelamat haiwan persendirian akhirnya ditubuhkan pada 2016.

“Animal Malaysia bermatlamat memberi kesedaran kepada seluruh masyarakat di Malaysia mengenai pentingnya menyantuni, membantu, menyayangi dan memelihara kesinambungan kehidupan yang aman untuk semua jenis haiwan sama ada haiwan domestik, peliharaan, liar mahupun yang terancam.

“Kami juga memperkenalkan bantuan tangkapan haiwan seperti anjing, kucing, biawak, ular, musang dan monyet di seluruh negara dengan kaedah tangkapan yang selamat dan lebih berperikemanusiaan dengan bayaran pengurusan yang berpatutan,” kata pemuda merangkap presiden persatuan berkenaan.

Selain itu, Animal Malaysia turut bertindak sebagai pengantara bagi menangani isu haiwan antara individu dengan agensi kerajaan, memperjuangkan pemuliharaan hidupan liar dan terancam serta memperkasa usaha menyelamat haiwan gelandangan.

“Kami juga memastikan Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang bertujuan memastikan pemilik haiwan bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaan dan Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 dikuatkuasakan secara menyeluruh oleh agensi berkaitan.

“Harapan kami supaya masyarakat peka dengan tanggungjawab dan tugas sebagai manusia demi menjamin kehidupan haiwan yang lebih bertamadun di negara ini.

“Oleh itu, kami mahu masyarakat bersama-sama membantu dan menyokong usaha menangani kes kezaliman haiwan dengan membekalkan maklumat lengkap terhadap sebarang aduan mengenai penganiayaan terbabit,” katanya.

Bagi mengisi tabung untuk belanja pengurusan haiwan, Animal Malaysia menawarkan perkhidmatan penghantaran haiwan ‘Pet Taxi’ ke seluruh semenanjung dengan bayaran berpatutan dan skuad haiwan untuk membantu Badan Pengurusan Bersama (JMB) kediaman bertingkat, premis perniagaan, pejabat dan kilang yang menghadapi masalah haiwan gelandangan berkeliaran.

“Bagi gangguan hidupan liar pula, kami uruskan soal tangkapan dan pemindahan haiwan terbabit, di mana tangkapan itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) atau dilepaskan kembali ke habitat asal.

“Tangkapan haiwan gelandangan seperti kucing dan anjing pula dimasukkan ke pusat perlindungan Animal Malaysia sebelum dirawat dengan memberikan vaksin dan memandulkannya untuk dimasukkan ke dalam program mencari keluarga angkat haiwan itu,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang berminat mengambil haiwan berkenaan untuk dipelihara di rumah mereka, ingin menghulur sumbangan dalam usaha menyelamat dan melindungi haiwan serta aduan gangguan haiwan boleh melayari laman sesawang www.animalmalaysia.com atau menghubungi talian 011-20901097 untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 11:27 AM