MAHASISWA IPGKRM belajar membuat destar.
MAHASISWA IPGKRM belajar membuat destar.
Amran Yahya


Kuala Pilah: Dendam Tak Sudah, Kacang Dua Helai Daun, Sarang Kerengga, Solok Timba dan Helang Menyongsong Angin. Itu antara lima jenis destar atau lebih dikenali sebagai tengkolok atau tanjak yang terdapat di negeri ini.

Destar diperbuat secara tradisional menggunakan kain songket yang dilipat dan diikat dalam gaya tertentu, menjadi pilihan utama kaum lelaki satu ketika dulu.

Menurut pakar pembuat destar, Mustafa Mat Isa, kategori destar ini dibahagi kepada dua iaitu dipakai golongan raja dan rakyat biasa.

“Tiga jenis destar adalah pakaian untuk golongan raja iaitu Dendam Tak Sudah, Kacang Dua Helai Daun dan Sarang Kerengga manakala Solok Timba dan Helang Menyongsong Angin adalah pakaian rakyat biasa.

“Destar Dendam Tak Sudah adalah pakaian ‘eksklusif’ kepada raja yang memerintah dan Undang Yang Empat,” katanya ketika ditemui.

Menurut Mustafa, masyarakat sering tertanya-tanya bagaimanakah asal usul nama destar Dendam Tak Sudah yang begitu sinonim dengan masyarakat di Negeri Sembilan.

“Sebenarnya ada pelbagai andaian berhubung asal usul nama ini. Menurut orang tua-tua, ia berpunca pandangan orang ramai kepada pemakai.

“Mereka yang membuat sentiasa tidak siap dan tidak berpuas hati atas destar dihasilkannya. Ini menyebabkan si pembuat tidak sudah-sudah ‘berdendam’ untuk menghasilkan destar yang terbaik.

“Andaian lain pula, destar Dendam Tak Sudah mempunyai satu Tunas Kasih yang terletak di bahagian hadapan sebagai tanda bersendirian dan kasih tidak berbalas.

“Jika dibawa kepada falsafah perkahwinan, ia adalah pertemuan antara lelaki dan perempuan. Lelaki berkenan kepada perempuan tetapi disebabkan kasih tidak berjawab menyebabkan lelaki sentiasa berdendam sampai bila-bila,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Mustafa, destar kini semakin dilupakan malah jika tidak diwarisi, kemungkinan ketandusan pembuat yang satu ketika dulu menjadi pakaian tradisional masyarakat Melayu.

Bagi mengelakkan ketandusan pembuat destar dalam kalangan orang adat dan generasi muda, Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) menganjurkan bengkel pemakaian destar di Galeri Seri Menanti, Muzium Diraja Seri Menanti, baru-baru ini.

Kurator Bahagian Pengurusan Muzium, LMNS, Aziz Mohd Gorip berkata, destar menjadi satu hasil seni dan milik bangsa Melayu.

“Hari ini tidak ramai generasi muda tahu menggubah destar, apatah lagi belajar membuatnya. Oleh itu, bengkel ini memberi ruang dan peluang kepada peserta terdiri daripada orang adat dan mahasiswa dari Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar (IPGKRM) Seremban.

“Selain itu, ia juga untuk mengimbas kembali sejarah penggunaan dan fungsi destar yang menjadi warisan dalam masyarakat Melayu Negeri Sembilan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 5:33 AM