MOHD Yatim Mustaffa menunjukkan tengkolok yang dinamakan gagak di rimba yang pernah ditawarkan dengan harga RM2,200 tiga tahun lalu.FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
MOHD Yatim Mustaffa menunjukkan tengkolok yang dinamakan gagak di rimba yang pernah ditawarkan dengan harga RM2,200 tiga tahun lalu.FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Badrila Jamlus


DESTAR, tanjak atau tengkolok. Nama ini tidak asing bagi orang Melayu yang satu ketika dulu digunakan untuk melilit dan mengawal rambut yang panjang.

Biarpun masyarakat Melayu kini tidak lagi memakai pelengkap pakaian tradisi itu, namun bagi seorang pembuat tengkolok dari Taman Berjaya di sini, kini menjadi sumber pendapatan tetapnya berikutan ia kembali menjadi trend pada majlis tertentu.

Mohd Yatim Mustaffa, 43, berkata, setiap bulan dia mampu meraih pendapatan RM3,000 berikutan mendapat tempahan daripada orang ramai terutama daripada pemilik butik pengantin dan kumpulan kebudayaan.

“Kini menjadi trend pengantin mengenakan pakaian tradisional, banyak butik yang membuat tempahan pakaian tradisional termasuk tengkolok... setiap bulan saya menerima lebih 30 tempahan.

“Ada juga tempahan daripada persatuan silat termasuk anggota tentera dari Rejimen Askar Diraja Melayu (RAMD) berikutan mereka perlu mengenakan pakaian itu pada hari tertentu, ia kembali menjadi kebanggaan hampir setiap lapisan masyarakat,” kata bapa kepada enam orang anak ini.

Bagaimanapun, Mohd Yatim berkata, rezeki yang diperolehnya tidak datang bergolek kerana dia mempelajari teknik melipat tengkolok lebih 10 tahun daripada orang-orang tua termasuk ahli kumpulan gendang Melayu.

ROSYAM Nor (duduk)  mengenakan tanjak yang dihasilkan Mohd Yatim.
ROSYAM Nor (duduk) mengenakan tanjak yang dihasilkan Mohd Yatim.

Katanya, dia tidak menyangka hasil gabungan teknik lipatan klasik dan moden termasuk diilhamkan dari alam menjadikan dia tidak putus menerima tempahan sehingga sekarang.

“Pelanggan saya juga terdiri daripada artis dan peminat seni warisan seluruh Malaysia termasuk Singapura dan Indonesia...Seorang pelanggan dari Singapura pernah menawarkan sebentuk tanjak yang saya hasilkan tiga tahun lalu dengan harga RM2,200 kerana keunikannya diilhamkan dari seekor burung gagak yang dinamakan gagak di rimba.

“Kebiasaannya, setiap tanjak akan dijual dengan harga antara RM70 hingga RM300 bergantung kepada reka bentuk yang diinginkan pelanggan serta kain yang digunakan.

“Beberapa koleksi termasuk yang pernah direka untuk pelakon dan pesilat Eby Yus disimpan di dalam tempat khas, apabila artis ini mengenakan tanjak di program hiburan, secara tak langsung ia menjadi ikutan peminat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 11:53 AM