ISMAIL (dua dari kiri) berbual dengan pelajar  Orang Asli yang terpilih menyertai PILN, semalam.
ISMAIL (dua dari kiri) berbual dengan pelajar Orang Asli yang terpilih menyertai PILN, semalam.
CHAI Mey Ling.
CHAI Mey Ling.
Hayati Ibrahim

Putrajaya: “Sebaik mendapat surat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara, saya amat gembira kerana berjaya memenuhi amanat terakhir mendiang abah yang ingin melihat saya belajar di luar negara,” kata Chai Mey Ling, 22.

Bekas graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu adalah seorang daripada 12 anak Orang Asli terpilih menyertai Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan akan melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Petroleum di University of Portmouth, United Kingdom (UK).

Beliau berkata, ketika berada di tingkatan 3 dan 4, ayahnya sudah menitipkan pesanan supaya belajar bersungguh-sungguh dan menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan petroleum di luar negara.

“Ketika itu abah disahkan menghidap kanser hati. Sejak itu saya nekad untuk belajar bersungguh-sungguh untuk memenuhi hasrat ayah.

“Walaupun ayah tidak sempat melihat kejayaan saya hari ini, tetapi saya bangga kerana dapat menunaikan hasrat abah, malah saya satu-satunya ahli keluarga dan anak jati Kampung Bukit Gemuruh, Bera Pahang yang berjaya belajar ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama 12 pelajar Orang Asli yang terpilih menyertai PILN di sini, semalam.

Chai berkata, ayahnya yang berkerja sebagai penoreh getah meninggal dunia ketika dia berada di semester pertama peringkat diploma di UMP pada 2012.

Beliau berkata, kejayaannya juga akan dijadikan teladan kepada adik serta anak saudaranya kelak.

Seorang lagi pelajar, Syuhada Samsudin, 19, dari Kampung Sungai Layau, Johor berkata, dia mendapat dorongan daripada ibu bapa untuk belajar di luar negara walaupun hatinya berat untuk berpisah dengan keluarga dalam tempoh lama.

“Saya lebih suka belajar dalam negara kerana seorang yang rapat dan sukar berenggang dengan keluarga, tetapi ibu bapa menggalakkan saya supaya menerima tawaran dan belajar berdikari demi masa depan.

“Jadi, saya akur dan menerima tawaran itu. Saya yakin ini satu-satunya peluang untuk membalas jasa kedua-dua ibu bapa dan menjadi contoh kepada adik-beradik,” katanya.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu menyambung pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Chung-Ang University, Korea.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 9:25 AM