DR Ali
DR Ali
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Biarpun Malaysia kini menuju ke arah menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi namun adalah penting untuk mengekalkan keseimbangan antara ekonomi modal dan ekonomi keperluan rakyat.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, kerajaan tidak menafikan kejayaan ekonomi sesebuah negara masih perlu bergantung kepada pengurusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar inflasi dan kadar pengangguran.

Bagaimanapun, katanya, menjadi kepentingan mana-mana kerajaan termasuk Malaysia untuk memberi tumpuan kepada ekonomi berasaskan rakyat, dasar dan program yang mampu memberi manfaat serta bermakna kepada rakyat.

“Tidak guna meraikan kejayaan dalam meletakkan Malaysia dalam kedudukan daya saing dan penilaian kewangan sekiranya tidak dikongsi bersama dengan rakyat.

“Justeru, inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) mengambil kira semua lapisan masyarakat termasuk belia, wanita, dan pesara kerajaan dalam program seperti integrasi bandar dan luar bandar, kesukarelawanan dan pembangunan kreativiti yang bertindak sebagai saluran untuk memenuhi ekonomi berasaskan rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucap tama pada Persidangan Antarabangsa Strategi Lautan Biru 2016 (ICBOS)di sini semalam.

Katanya, bermula dengan 10 inisiatif NBOS, kini sudah berkembang kepada 97 inisiatif yang membabitkan penyertaan lebih daripada 80 kementerian dan agensi.

Ali berkata, program ini memberi impak yang tinggi dan bermakna kepada rakyat malah, ia dibangunkan dengan cepat serta membabitkan kos jauh lebih murah berbanding kaedah konvensional.

Menurutnya, Pusat Transformasi Bandar (UTC) adalah antara kisah kejayaan NBOS dan ia memberi banyak manfaat kepada rakyat sehingga ia berada di hati rakyat sebagai satu pusat sehenti bagi perkhidmatan awam.

“Sehingga kini, sebanyak 15 UTC beroperasi di bandar utama di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga tidak mengabaikan belia dan remaja apabila membangunkan inisiatif kesukarelawan dikenali 1M4U bagi memastikan belia negara lebih bertenaga; kreatif dan bermotivasi sekali gus mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Katanya, program sukarelawan itu dilihat mampu memenuhi kepentingan belia sekali gus memastikan wawasan ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dapat dicapai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 9:17 AM