GHAZALI (tengah) bersama  pendaki memanjat Bukit Besar sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
GHAZALI (tengah) bersama pendaki memanjat Bukit Besar sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Helmy Abd Rahman

Kuala Terengganu: Kira-kira 100 pemuda dari bandar raya ini serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil menunjukkan semangat patriotik dengan cara tersendiri menerusi program Pendakian Merdeka ke Bukit Besar di sini sambil membawa Jalur Gemilang.

Pendakian berkenaan dilakukan bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan ke-59 tahun ini.

Pendakian diketuai Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil Ghazali Taib yang turut diiringi Ketua Pemuda UMNO Terengganu Mohd Johari Abu Bakar.

Pendakian setinggi kira-kira 700 meter dari paras laut berkenaan dimulakan pada jam 8 pagi dengan peserta berkumpul kira-kira sejam sebelum itu.

Di samping itu, Ghazali berkata, beliau berhasrat menjadikan program berkenaan sebagai acara tahunan bagi menghargai jasa dan pengorbanan pemimpin terdahulu selain menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

“Walaupun pendakian ini julung kali diadakan, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan belia,” katanya ketika ditemui, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 10:11 AM