PENOLONG Pegawai Operasi Haji 2016, Stesyen Alor Setar, Burhan Abd Rahman memeriksa kad pengenalan haji milik Che Amah di  Hotel Tabung Haji Alor Setar.
PENOLONG Pegawai Operasi Haji 2016, Stesyen Alor Setar, Burhan Abd Rahman memeriksa kad pengenalan haji milik Che Amah di Hotel Tabung Haji Alor Setar.
Syahid Sokri

Alor Setar: Kasih seorang suami mahu membawa isterinya menunaikan ibadat haji akhirnya tertunai apabila mereka dipilih ke Tanah Suci pada tahun ini walaupun kedua-duanya terpaksa berkerusi roda sepanjang masa.

Bagaimanapun, pemergian pasangan warga emas, Salleh Ahmad, 78, dan isteri Che Amah Yazid, 78, dari Kampung Batu Enam, Kuala Kedah di sini, turut ditemani dua anak lelaki berusia 30-an serta 40-an.

Salleh berkata, sepanjang perkahwinan, peluang untuk menunaikan fardu haji dianggap saat paling indah yang ditunggu-tunggu, tambahan pula mereka suami isteri pergi bersama kedua-dua anak sebagai teman.

“Ini (menunaikan fardu haji) antara janji kami berdua sejak zaman muda dan Alhamdulillah, saya dapat membawa isteri tercinta ke tanah suci Makkah.

“Ia bukti cinta kami yang tetap setia sehingga hujung nyawa dan pengalaman mengerjakan ibadat haji bersama isteri antara impian paling bermakna buat saya.

“Walaupun keadaan fizikal terpaksa berkerusi roda tetapi kami tetap bersemangat bersama dua anak lelaki turut ikut sama bagi memudahkan urusan mengerjakan ibadat nanti,” katanya selepas urusan daftar masuk penerbangan di Hotel Tabung Haji, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 9:43 AM