PORA (kiri) bersama anaknya, Zainol di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya.
PORA (kiri) bersama anaknya, Zainol di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya.
Siti Farahiyah Aziz


Kelana Jaya: Dijemput menjadi tetamu Allah menunaikan ibadat haji tahun ini anugerah terindah dalam hidup warga emas yang juga bekas pesawah, Pora Man, 74.

Pora berkata, dia bersyukur kerana hasil titik peluhnya mengusahakan sawah sejak pemergian suami pada 2000 dapat digunakannya untuk menyempurnakan Rukun Islam kelima itu.

“Sebelum suami pergi, kami sebenarnya sudah membuat simpanan hasil daripada bersawah sedikit demi sedikit sebagai persediaan ke Makkah dan masa depan.

“Tetapi arwah yang masih sihat ketika itu dijemput Ilahi terlebih dahulu sebelum sempat mengerjakan haji bersama seperti yang sudah dirancangkan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini, semalam.

Menurut Pora, dia terpaksa menggunakan kudratnya dan menjadi ketua keluarga untuk menyara anak.

“Sebenarnya memang sukar untuk seorang wanita bekerja di bendang kerana memerlukan tenaga yang banyak tetapi ia sudah menjadi punca pendapatan utama kami sekeluarga.

“Bersawah perlu kegigihan dan kesabaran yang tinggi kerana pelbagai dugaan perlu dihadapi sebelum hasilnya boleh dijual antaranya faktor cuaca dan serangga perosak yang sedikit sebanyak menjejaskan tanaman,” katanya.

Pora berkata, selepas ditolak dengan semua perbelanjaan, dia hanya mampu menyimpan RM1,000 dalam tempoh enam bulan.

“Jumlah itu juga digunakan sekiranya berlaku kecemasan seperti perubatan.

“Tetapi sekarang ini saya bersyukur kerana anak sentiasa memberi sumbangan perbelanjaan harian dan tidak benarkan saya melakukan kerja berat kerana sudah berusia,” katanya.

Pora bersama anak, Zainol Mat Noh, 54, dan isteri, Mariani Mohd Said, 51, antara 450 jemaah haji yang berangkat ke Tanah Suci menerusi penerbangan KT38B, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 8:31 AM