JALIKAR
JALIKAR
AMI Kalthum
AMI Kalthum
Safar Ahmad

Makkah: Apabila mengetahui hanya mereka terpilih ke Tanah Suci tanpa ditemani anak-anak atau waris, jauh di sudut hati timbul kebimbangan mampukah mereka melaksanakan ibadat haji dengan sempurna.

Ditambah dengan usia lanjut dan kudrat yang semakin berkurangan mereka juga khuatir kerana tidak mengenali sesiapa pun di Tanah Suci nanti.

Namun, dilema yang dihadapi jemaah haji warga emas berusia 70 tahun ke atas yang terpaksa mengharungi proses ibadat haji berseorangan sedikit terubat apabila mula mengenali rakan baru terutama yang senasib dengan mereka di Tanah Suci.

Bagi Ami Kalthum Ayub, 71, dia bimbang keadaan kesihatannya berikutan baru menjalani pembedahan hernia dan dinasihatkan tidak melakukan pekerjaan berat.

Malah, dia yang pernah menghidap kanser usus tahap tiga ketika berusia 57 tahun perlu menjalani pemeriksaan rutin setiap tahun.

“Alhamdulillah penyakit kanser saya sembuh walaupun doktor memberitahu jangka hayat saya hanya lima tahun ketika itu berkat beberapa ayat al-Quran yang saya amalkan selain rawatan hospital.

“Apabila mengetahui saya terpilih ke Tanah Suci tanpa ditemani anak, timbul kerisauan di hati saya. Saya takut tak ada kawan di Makkah nanti.

“Bagaimanapun, apabila tiba di sini, alhamdulillah saya dapat rakan sebilik yang baik, malah datang dari Johor juga dan kami senasib kerana sebatang kara di sini,” katanya yang berasal dari Jalan Dato’ Ahmad, Muar, Johor.

Rakan sebiliknya, Jalikar @ Jalehar Juraimi, 72, berkata, dia bimbang kerana selain perlu ke Tanah Suci tanpa ditemani sesiapa, dia juga buta huruf yang mungkin menambah kesukaran untuk melakukan ibadat nanti.

“Saya sepatutnya datang ke sini dengan suami, namun dia pergi mengadap Ilahi Februari lalu, jadi saya terpaksa datang ke sini seorang diri.

“Saya juga mengalami masalah gemuruh yang boleh menyerang secara tiba-tiba dan baru-baru ini dimasukkan ke pusat rawatan kerana penyakit ini.

“Jadi apabila dapat rakan sebilik yang senasib sekurang-kurangnya dapat kami saling bantu-membantu sesama kami jika berlaku sebarang masalah,” katanya.

Jalikar dari FELDA Bukit Batu, Kulai, Johor berkata, pengalaman menunaikan umrah bersama arwah suami beberapa tahun lalu membantunya menunaikan rukun Islam kelima itu.

Seorang lagi jemaah, Saad Omar, 70, dari Alor Janggus, Alor Setar, Kedah berkata, walaupun datang bersendirian tanpa ditemani sesiapa, dia nekad melakukan setiap ibadat dengan sebaik mungkin.

“Dari segi kudrat insya-Allah saya masih mampu walaupun perlahan. Alhamdulillah saya tidak ada apa-apa penyakit serius dan saya akan melakukan ibadat haji dengan sempurna.

“Saya ada pengalaman menunaikan umrah pada 1994 dengan arwah isteri dan sedikit sebanyak ia membantu saya melakukan ibadat haji,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 8:58 AM