GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Miri: Lelaki yang mengancam hendak membunuh isteri dan ibu bapa mentuanya ditahan polis di Kampung Tunku Abdul Rahman, Batu 10 Lambir, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Khoo Leng Huat berkata, selain melakukan ugutan jenayah, suspek berusia 40 tahun yang bekerja sendiri itu telah mencekik leher isterinya berumur 37 tahun dalam kejadian yang berlaku pada 10 malam, Ahad lalu.

"Suami mangsa membawa parang dan mengancam mahu membunuh mangsa serta ibu bapa mangsa yang tinggal di Tudan dan bimbang dengan ugutan itu, mangsa bersama anak-anaknya melarikan diri dari rumah tempat mereka tinggal bersama," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khoo berkata, menurut isteri mangsa, suspek yang pernah menjalani rawatan pemulihan penagihan dadah di Kuching adalah seorang panas baran dan sering bertindak ganas apabila marah.

"Tidak tahan dengan sikap suspek, mangsa tidak berani balik ke rumah dan terus membuat laporan polis," katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 6:22 PM