Secara kebetulan, dua minggu lalu saya menyarankan beberapa pemain terbabit dalam kejohanan Euro 2016 harus bersara daripada bola sepak antarabangsa kerana aksi sudah kelihatan hambar.

Tidak lama selepas itu, ada beberapa pemain kebangsaan pula mengumumkan persaraan mereka daripada mewakili negara.

Seorang pemain kebangsaan perlu pada satu hari membuat keputusan untuk menamatkan karier mereka daripada beraksi di tahap tertinggi.

Persaraan dari arena antarabangsa sebenarnya boleh melanjutkan usia pemain bola sepak di gelanggang domestik. Jadi, saya tidak hairan dengan keputusan pemain untuk berhenti menyarung jersi kebangsaan.

Keputusan ini harus dihormati dan pihak pengurusan pasukan kebangsaan tidak boleh ‘terkejut’ dengan keputusan sebegitu.

Pengurusan pasukan kebangsaan harus memahami setiap pemain, sepatutnya mempunyai pelapis atau pengganti. Jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee harus mempunyai senarai pemain yang bakal menyarung jersi kebangsaan. Lagipun bukankah beliau pernah terbabit dengan skuad Bawah 23 buat sekian lama?

Pendapat peribadi saya, tiada pihak yang boleh memberikan reaksi negatif. Kepada pemain yang ingin bersara dari arena antarabangsa, saya ucapkan ribuan terima kasih. Setiap pemain ada penggantinya tapi bukan senang untuk menggantikan pemain seperti Safiq Rahim (gambar). Pemain ini jelas bertahap tinggi dan seperti Azizul Abu Haniffah sebelum ini, bakat kedua-dua pemain tengah ini jarang ada di negara kita.

Di sini pula, ketiadaan Safiq Rahim sebagai kapten pasukan kebangsaan akan menyebabkan hilangnya keyakinan penaja. Dia juga akan hilang status sebagai ‘suara’ serta tanggungjawab selaku wakil bola sepak di negara ini.

Kepada pemain yang bakal dicalonkan untuk mewakili pasukan kebangsaan, jangan sia-siakan peluang beraksi dengan baik bagi mencipta sejarah atau nama di arena dan tahap bola sepak tertinggi.

Anda mungkin mewakili pasukan terkuat di negara ini tapi anda ibarat tiada ‘sesiapa’ jika tidak mewakili negara dengan mempamerkan prestasi tinggi.

Kepada pihak pengurusan pasukan kebangsaan, pepatah Melayu ada mengatakan, sediakan payung sebelum hujan, tetapi jelas pentadbiran bola sepak di negara ini sudah tenggelam.

Begitu banyak duit dibelanjakan demi pembangunan bola sepak dengan pasukan remaja dihantar ke sana ke mari tetapi apabila beberapa pemain ‘bersara’ maka FAM sudah menggelabah.

Kepada jurulatih kebangsaan, tolong jaga maruah jersi negara. Jersi kebangsaan kini bagaikan dijual di pasar malam. Sesiapa saja boleh menjadi pemain kebangsaan. Kriteria pemilihan sudah menjadi kelabu. Seorang pemain amatur yang berusia 26 tahun dan mengikut Wikipedia, hanya beraksi 20 kali dari 2012 hingga 2015, sudah boleh dianggap layak memakai jersi kebangsaan sesuatu negara dan beraksi di arena antarabangsa.

Itu pun bukan di liga lebih baik daripada Liga Malaysia.

Mengikut pepatah Inggeris, ‘clowns running the circus’ sudah menjadi istilah bola sepak di negara ini.

Di sini kita tidak boleh menyalahkan pemain yang di maksudkan tapi harus mempersoal kebolehan pihak kejurulatihan membuat keputusan berdasarkan kualiti serta prestij pemain.

Apa pula dengan jadual serta corak latihan? Jelas lawatan ke Oceania tidak memadai dengan harapan disandarkan kepada beberapa pemain serta pasukan.

Ini menyebabkan sedikit kekeliruan dalam kalangan pemegang saham bola sepak. Perkara yang paling menimbulkan kemarahan adalah kecederaan beberapa pemain dan di sini pihak kejurulatihan perlu menjelaskan kenapa ini boleh berlaku.

Dalam bola sepak kita harus faham kecederaan memang tidak boleh dielakkan tapi bentuk kecederaan itu harus dijelaskan.

Setiap keputusan atau perancangan dilakukan FAM kerap menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

Jelas, bola sepak di Malaysia boleh dianggap sebagai melahirkan ketidakcekapan dan pihak pengurusan pula menggalakkan ketidakcekapan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2016 @ 12:06 PM