Fadzli (kanan) akan memulakan musim ini sebagai penolong jurulatih untuk FELCRA FC. -Foto fail
Fadzli (kanan) akan memulakan musim ini sebagai penolong jurulatih untuk FELCRA FC. -Foto fail
Asrol Awang


BEKAS pemain kebangsaan, Mohd Fadzli Shaari mengumumkan persaraannya selepas 17 tahun beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Fadzli yang beraksi selaku penyerang berkata, dia tidak kesal bersara awal walaupun pada umur 35 tahun masih ada rakan seusianya atau lebih masih bermain.

Katanya, keputusan itu tepat memandangkan sudah tiba masanya untuk beralih ke bidang kejurulatihan kerana mahu memberi lebih peluang kepada pemain muda beraksi dalam saingan liga.

“Saya tidak terkilan apabila memilih untuk bersara walaupun masih lagi boleh beraksi untuk semusim lagi. Tapi, saya percaya keputusan ini adalah tepat selepas bermain selama 17 tahun.

“Segala pengalaman yang ada akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menjadi seorang jurulatih disegani pada masa depan.

“Dengan pengumuman ini, saya akan beralih dalam bidang kejurulatihan kerana bola sepak adalah minat saya,” katanya.

Sepanjang kerjayanya, Fadzli pernah menimba pengalaman bersama kelab bola sepak Jerman, SV Wehen pada 2001.

Pemain kelahiran Lipis, Pahang itu pernah menyarung jersi skuad negara dari 2002 hingga 2007.

Dalam saingan Liga Malaysia, Fadzli mula menyertai skuad Pahang pada 2001 hingga 2006, diikuti Selangor (2007-2008), KL Plus (2009-2010).

Musim 2011 hingga 2012, dia kembali mewakili Selangor sebelum berhijrah ke T-Team pada 2012-2013, Sime Darby (2013-2014), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (2014-2015) dan FELCRA FC (2016-2017).

Berikutan persaraan itu, Fadzli yang beraksi selama dua musim bersama FELCRA FC, mengesahkan dia dilantik sebagai penolong jurulatih kelab berkenaan.

Dia akan bergandingan dengan Rosle Md Derus untuk bersama ketua jurulatih, Tarcisio Pugliesi dari Brazil dalam membantu mencipta kejayaan dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 5:30 PM