JUZAILI tekad dengan keputusan untuk bersara. Foto file
JUZAILI tekad dengan keputusan untuk bersara. Foto file
Asrol Awang


BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Juzaili Sameon tidak terkilan apabila mengambil keputusan bersara sekali gus meninggalkan sukan itu sejak memulakan kerjaya pada 1999.

Juzaili yang juga bekas kapten Sime Darby FC musim lalu, menganggap keputusan itu pilihan tepat bagi memberi tumpuan terhadap bidang kejurulatihan.

Tawaran sebagai penolong jurulatih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC yang kali pertama menyertai Liga Perdana musim ini mendorongnya membuat keputusan itu.

Juzaili berkata, hampir 20 tahun bermain termasuk mewakili kelab bola sepak Perancis, FCSR Haguenau selama dua musim pada 1991 dan 2000 mematangkannya termasuk menyertai beberapa pasukan terbaik di negara ini.

Katanya, semuanya sudah dipersembahkan dengan jayanya termasuk menyarung jersi Harimau Malaya.

“Sepanjang hampir 20 tahun dalam bola sepak, saya puas hati dan berharap dapat memberikan yang terbaik dalam bidang kejurulatihan pula,” kata pemain berumur 37 tahun itu.

Ditanya sama ada keputusan itu dibuat berikutan keputusan Sime Darby FC yang muncul juara Liga Perdana musim lalu menarik diri, Juzaili menjelaskan ia antara faktor mendorongnya berbuat demikian.

“Jika Sime Darby masih lagi beraksi musim ini saya mungkin bermain tetapi sebaliknya berlaku apabila pengurusan kelab membuat keputusan menarik diri,” katanya.

Mengikut rekod, Juzaili, pemain kelahiran FELDA Lurah Bilut, Pahang pernah menyarung jersi skuad negara dari 2001 hingga 2008.

Dalam saingan Liga Malaysia pula, pemain pertahanan itu pernah mewakili Pahang dari 2001–2006, UPB-MYTeam (2006–2009), FELDA United FC (2010–2012) dan Sime Darby FC (2013–2017).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 2:26 PM