BEKAS pemain kebangsaan, Mohd Faizal Muhamad. FOTO ihsan Mohd Faizal Muhamad
BEKAS pemain kebangsaan, Mohd Faizal Muhamad. FOTO ihsan Mohd Faizal Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bekas pemain kebangsaan, Mohd Faizal Muhamad kesal dan terkejut jika benar bekas pemain bola sepak skuad Harimau Malaya terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Mohd Faizal, 33, yang terpaksa gantung but lebih awal ketika usia 30 tahun kerana mengalami kecacatan kekal mata kanan selepas terbabit kemalangan di Kilometer 250.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), pada 26 Mei 2019, bagaimanapun mengharapkan aktiviti tidak sihat itu tidak menular kepada pemain lain.

Bekas pemain Terengganu kelahiran Marang yang kini bergelar pemaju hartanah itu turut mengharapkan pihak bertanggungjawab dapat menangani isu dadah dengan lebih pantas dan serius agar ia tidak menjadi barah terutama dalam kalangan penggiat sukan nombor satu dunia itu.

"Sejujurnya saya terkejut selepas mendengar berita bekas pemain kebangsaan terbabit dengan aktiviti tidak sihat itu lebih-lebih lagi sukan nombor satu ini kian menunjukkan peningkatan bermula daripada pasukan remaja hinggalah senior.

"Andai ia benar berlaku ke atas pemain ditahan itu, saya sebagai bekas pemain kebangsaan begitu kesal dan kecewa dengan tindakan tidak bermoral pemain berkenaan.

"Ini kerana ia bukan sahaja boleh menjejaskan imej pemain itu sendiri, tetapi boleh menjejaskan imej bola sepak negara," kata Mohd Faizal yang bersara pada 2020.

Bekas pemain pertahanan kental itu mengharapkan pemain berkenaan kembali ke pangkal jalan selain menjadi pengajaran berguna kepada semua penggiat bola sepak kerana ia boleh merosakkan karier seseorang.

"Nasihat saya sebagai bekas pemain, ia satu kerugian yang besar buat pemain itu sendiri dan negara.

"Jadi harapan saya agar perkara itu menjadi pengajaran berguna buat semua sambil meletakkan harapan tinggi agar semua dapat menjauhi aktiviti tidak bermoral itu," katanya kali terakhir beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) ketika menyarung jersi Melaka United pada 2019.

Terdahulu seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan berusia 36 tahun yang pernah menyarung jersi beberapa pasukan Liga Super dikatakan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu di Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 7:03 PM