MOTOSIKAL yang terbabit  kemalangan di Jalan Juasseh-Bahau.
MOTOSIKAL yang terbabit kemalangan di Jalan Juasseh-Bahau.

Kuala Pilah: Dua maut manakala seorang parah apabila motosikal yang ditunggang dipercayai bertembung sesama sendiri di Jalan Juasseh-Bahau berhampiran Rumah Rakyat Juasseh Pekan di sini, awal pagi kelmarin.

Mangsa yang maut adalah Nur Shahkimi Ramli, 15, menunggang motosikal Suzuki Shogun dan Mohd Nor Syafiq Talhami, 25, menunggang Honda EX5 manakala mangsa yang parah dikenali Tengku Muhamad Syukri, 21, menunggang Yamaha Lagenda.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mereka dikatakan menunggang motosikal secara berkumpulan sebelum berlaku pertembungan.

Saksi kejadian Mansor Mohd Rapi, 40, berkata dia menyedari sekumpulan penunggang motosikal berkumpul di jalan berkenaan jam 1 pagi sebelum terdengar bunyi dentuman kuat.

“Rumah saya terletak kira-kira 50 meter dari lokasi berkenaan. Ketika itu saya baru mahu tidur kerana membuat persiapan menyambut hari raya.

“Bagaimanapun, ketika tidur saya dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat menyebabkan saya keluar untuk melihat apa yang berlaku. Saya lihat tiga penunggang bergelimpangan atas jalan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Pilah, Sarjan Majeran Lon berkata, seramai empat anggota ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam jam 3.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2016 @ 7:12 AM