MANIKAVASAGAM (tengah) ketika ditahan SPRM, semalam.
MANIKAVASAGAM (tengah) ketika ditahan SPRM, semalam.

Shah Alam: Bekas Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekitar bandar raya ini kelmarin, bagi membantu siasatan kes rasuah dipercayai membabitkan tender baik pulih kemudahan awam.

Difahamkan, beliau yang juga penyelaras kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati ditahan bersama wang berjumlah RM30,000 yang diterima daripada seorang kontraktor kelas G3.

Sumber SPRM berkata, bekas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dipercayai menerima wang berkenaan bagi membolehkan syarikat kontraktor terbabit mendapat tender bernilai hampir RM1 juta.

“Penahanan itu dibuat hasil intipan SPRM selama empat bulan terhadap Manikavasagam.

“Kami sebelum ini menerima beberapa laporan membabitkan penyalahgunaan kuasa yang dilakukannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan penahanan Manikavasagam, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan pihaknya.

Tinjauan di pejabat SPRM Selangor mendapati beberapa penyokong menunggu sehingga Ketua Cabang PKR Kuala Selangor itu dibebaskan kira-kira jam 3 petang, semalam.

Manikavasagam ketika ditemui media bagaimanapun mendakwa, dia tidak mengenali lelaki itu yang hanya memberitahu mahu memberi dana politik.

“Dia membuang dan meninggalkan satu sampul surat. Tidak lama kemudian, saya ditahan dan pemeriksaan mendapati sampul itu mengandungi wang.

“Ia berlaku di sebuah stesen minyak kira-kira jam 2.30 petang semalam (kelmarin),” dakwanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 11:41 AM