Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Susulan penahanan tiga individu termasuk dua bekas Yang Dipertua (YDP) majlis perbandaran semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan reman seorang Pegawai Daerah (DO) bersama juru ukur bahan.

Kedua-dua suspek terbabit direman selama lima hari bermula hari ini selepas Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan reman oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Menurut sumber, kedua-dua individu terbabit ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 9 dan 10 malam tadi ketika hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, suspek terbabit dipercayai bersekongkol bersama syarikat kontraktor yang juga sindiket kartel projek bagi membolot projek bernilai puluhan juta ringgit di sekurang-kurangnya empat daerah di Selangor sejak 2012 lagi.

Katanya, dalam tempoh empat tahun di sebuah daerah saja, kontraktor terbabit boleh memperoleh pelbagai projek bernilai anggaran RM20 juta.

Difahamkan, terdapat kira-kira 70 syarikat yang digunakan untuk membolot projek itu termasuk kira-kira 16 syarikat milik keluarga mereka dan selebihnya kroni atau proksi.

"Kontraktor ini akan menjaga dan berdampingan dengan pegawai terbabit seperti menaja bermain golf dan bercuti ke Eropah dengan membiayai perbelanjaan sekeluarga," katanya.

Kata sumber itu lagi, Pegawai Daerah di Selangor yang direman hari ini dipercayai sudah menerima suapan dengan anggaran kira-kira RM125,000 dalam pelbagai bentuk seperti wang tunai, pengubahsuaian rumah, deposit kereta dan bayaran perubatan.

"Suapan itu adalah sebagai balasan membantu syarikat milik kontraktor mendapatkan kerja pembersihan kawasan, penyelenggaraan dan lain-lain kerja secara sebut harga dan tender di kawasan sekitar Selangor," ujarnya.

SUSPEK direman lima hari bagi membantu siasatan. FOTO ihsan SPRM
SUSPEK direman lima hari bagi membantu siasatan. FOTO ihsan SPRM

Katanya, keseluruhan nilai projek itu berjumlah kira-kira RM3 juta.

Sementara itu, sumber berkata, juru ukur bahan itu pula dipercayai memperoleh suapan sebanyak satu peratus daripada nilai projek selain wang tunai berjumlah anggaran RM90,000 dan sebuah basikal bernilai RM3,000.

Katanya, suspek dipercayai membocorkan maklumat berkaitan tender kepada kontraktor bagi kerja pembersihan kawasan dan penyelenggaraan di sebuah daerah lain pula di Selangor.

Menurutnya, kontraktor yang memonopoli projek juga bertindak sebagai proksi kepada YDP untuk menerima habuan rasuah jutaan ringgit dari syarikat pemaju hartanah.

Berita berkaitan

Terima rasuah daripada kontraktor, dua bekas YDP Majlis Perbandaran direman

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 12:51 PM