BERNAMA

Kota Bharu: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kelantan mengeluarkan notis larangan operasi eskalator kepada pengurusan sebuah pasar raya di bandar ini selepas jari kaki seorang kanak-kanak perempuan tersepit pada peranti pengangkutan itu, Jumaat lalu.

Pengarah JKKP Kelantan Abdul Aziz Salim berkata, notis yang berkuat kuasa hari ini tidak membenarkan eskalator itu beroperasi dalam tempoh satu hingga dua minggu sehingga pihak pengurusan melakukan kerja-kerja pembaikan dan dijamin selamat untuk digunakan.

"JKKP Kelantan juga memanggil pihak pengurusan premis, firma yang kompeten (FYK) dan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK Malaysia) untuk tindakan lanjut.

"Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 atau Akta Kilang dan Jentera 1967," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 7 Januari lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun tersepit kaki semasa sedang menaiki eskalator di sebuah pasar raya di sini, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk menerima rawatan.

Abdul Aziz berkata, JKKP Kelantan memandang serius terhadap kemalangan itu dan menasihatkan pengguna terutama ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak mereka semasa menggunakan eskalator.

"Sebelum ini sudah ada beberapa kes kesemuanya membabitkan kanak-kanak yang pada usia ini pergerakan mereka tidak terjangka dan perlu ada kawalan daripada penjaga.

"Penggunaan kasut seperti kasut getah, tali kasut terjuntai dan kanak-kanak memasukkan apa-apa peralatan boleh menyebabkan eskalator terhenti sekali gus membahayakan mereka," katanya.

Beliau turut meminta pihak pengurusan pasar raya supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti meletakkan papan tanda peringatan dan mengadakan pengumuman kepada orang awam dari semasa ke semasa mengenai pematuhan langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan bagi penggunaan eskalator.

Berita berkaitan

Jari kaki budak tersepit pada eskalator

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 3:06 PM