KD Mahawangsa membawa seramai 203 orang terdiri daripada 18 pegawai, 169 krew kapal dan 16 petugas bantuan sokongan. FOTO Muhamad Lokman Khai
KD Mahawangsa membawa seramai 203 orang terdiri daripada 18 pegawai, 169 krew kapal dan 16 petugas bantuan sokongan. FOTO Muhamad Lokman Khai
Muhamad Lokman Khairi

Lumut: Markas Angkatan Bersama dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencipta sejarah baharu apabila buat pertama kalinya menjalinkan kerjasama bagi melaksanakan pergerakan ulang bekal pasukan Malaysian Battalion (MALBATT) 850.

Kerjasama itu dizahirkan menerusi Majlis Pelepasan Tali KD Mahawangsa sempena pelayaran ke Lubnan hari ini disempurnakan oleh Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Indera Yazid Arshad.

Menurut Yazid, penugasan ini adalah alternatif kepada saluran komersial yang digunakan selama ini.

Katanya, objektif lain termasuk uji dan menambah baik Rancangan Kontinjensi Op Evacmilfil MALBATT 850 dan menilai kesiapsiagaan warga ATM serta aset terbabit dalam misi ulang bekal jarak jauh.

"Pelayaran KD Mahawangsa kali ini membawa seramai 203 orang terdiri daripada 18 pegawai, 169 krew kapal dan 16 petugas bantuan sokongan.

"Kapal yang berusia 39 tahun ini akan membawa enam trak tiga tan GS Cargo, dua trak satu tan, sebuah ambulans, peluru dan bahan letupan.

"Ia juga ditugaskan menghantar peralatan komunikasi dan barangan untuk kegunaan aktiviti CIMIC ke Lubnan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis itu di Jeti Operasi (Himpitan 4) Tambatan Pangkalan TLDM Lumut dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima Pendidikan dan Latihan TLDM, Laksamana Muda Datuk Anuar Mohamed yang mewakili Panglima Armarda Barat; Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Kamaruddin Omar; wakil Markas Angkatan Bersama dan ahli keluarga kru kapal KD Mahawangsa.

Sementara itu, Pegawai Memerintah KD Mahawangsa, Kepten Mohd Amin Mat Tahir berkata, penugasan ini adalah satu penghormatan buat dirinya dan kru kapal terbabit.

"Selaku Pegawai Memerintah ke-26, saya berbesar hati dapat menggalas tanggungjawab untuk mengemudi kapal ini sehingga pulang ke tanah air semula.

"Terima kasih kepada TLDM, Markas Armada Pemerintahan Barat, Markas Logistik dan depo yang terbabit dalam menyelenggara kapal yang sudah menjangkau usia 39 tahun ini. Ia pastinya bukan suatu perkara mudah.

"Kami mengharapkan doa ahli keluarga supaya pelayaran kami dipermudahkan dan selamat kembali ke tanah air," katanya.

KD Mahawangsa dijangka tiba di Pelabuhan Beirut, Lubnan pada 2 Januari 2023 untuk proses ulang bekal barangan logistik MALBATT 850 dan tiba semula di Tambatan Pangkalan Lumut pada 4 Februari 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 3:39 PM