KEADAAN kereta remuk dirempuh kenderaan pacuan empat roda.
KEADAAN kereta remuk dirempuh kenderaan pacuan empat roda.
Syah Rul Aswari Abdullah dan Shahrul Nizam Mohamad


Rompin: Hajat pasangan warga emas untuk berbuka puasa bersama dua cucunya buat kali pertama pada Ramadan tahun ini tidak terlaksana apabila mereka terbunuh selepas kereta dinaiki bertembung kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 10 Jalan Ibam-Muadzam Shah, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa, pemandu Perodua Kancil, Abdul Talib Abdul Rahman dan penumpang kereta itu, Aminah Ismail masing-masing berusia 67 tahun yang tinggal di Perumahan DARA, Bukit Ibam, Muadzam Shah, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua cucu mereka yang duduk di bahagian belakang tempat duduk penumpang, Muhamad Hafiz Abdul Rahman, 8, dan Nor Huda Khuzaila Rosman, 15, cedera parah.

Difahamkan, ketika kejadian, empat sekeluarga itu dalam perjalanan dari bazar Ramadan di Bandar Muadzam Shah untuk pulang ke rumah mereka di Bukit Ibam selepas membeli juadah berbuka puasa.

Seorang anak kepada Abdul Talib dan Aminah, Juleiyana, 36, berkata, ibu bapanya berhasrat berbuka puasa bersama Muhamad Hafiz dan Nor Huda Khuzaila kelmarin kerana tidak sempat berbuat demikian sebelum ini.

“Pada hari pertama serta kedua puasa, mereka belum sempat berbuka dengan dua cucunya yang tinggal berhampiran dan mengambil kesempatan semalam (kelmarin).

“(Ketika kejadian) emak dan ayah dalam perjalanan balik ke rumah (di Bukit Ibam) selepas membeli juadah berbuka puasa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, ketika kejadian, empat beranak itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Ibam dari arah Rompin.

Beliau berkata, ketika sampai di tempat kejadian, Perodua Kancil dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung pacuan empat roda itu.

“Pemandu Perodua Kancil dan penumpang hadapan (Abdul Talib dan Aminah) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 10:37 AM