Kemalangan membabitkan anggota polis di Jalan Kuantan-Segamat pagi tadi. FOTO Mohd Rafi Mamat
Kemalangan membabitkan anggota polis di Jalan Kuantan-Segamat pagi tadi. FOTO Mohd Rafi Mamat
Shahrul Nizam Mohamad

Rompin: Seorang anggota polis parah manakala dua cedera ringan apabila Proton Wira dinaiki ketika melakukan rondaan cegah jenayah bertembung Perodua Alza di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa penumpang depan, Paskhalid Osman, 30, bertugas di Balai Polis Trafik Rompin cedera parah di kepala dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pemandu, Azmi Mohmad, 31, bertugas di Balai Polis Muadzam Shah cedera ringan dan masih dirawat di Hospital Muadzam Shah manakala penumpang belakang Mohd Husaini Hassan, 29, bertugas di Balai Polis Bukit Ibam tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Mohd Aidil Roneh Abdullah berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Alza itu yang dalam perjalanan menghala ke Segamat dari Pekan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung kereta dinaiki tiga anggota polis terbabit.

"Kita masih menyiasat punca sebenar kejadian dan akan bertemu pemandu Perodua Alza yang belum dikenal pasti identiti serta tiga anggota terbabit untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 11:50 AM