HAIRUL bersama ibunya  yang lumpuh separuh badan.
HAIRUL bersama ibunya yang lumpuh separuh badan.
Ainul Fatihah Mansor


Kuala Lumpur: Entah masuk kali ke berapa pipi wanita tua yang duduk di atas kerusi roda itu dikucup pemuda di sebelahnya.

Walaupun mereka menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi, perasaan kasih seorang anak terhadap ibunya tetap utuh walaupun dia sendiri tidak sempurna.

Pemuda berkenaan yang pekak dan bisu sejak dilahirkan 24 tahun lalu itu tetap setia menemani permata hatinya.

Demi sesuap nasi yang perlu diberikan kepada pemuda itu ketika dia masih kecil, si ibu tunggal itu melakukan pelbagai kerja ketika kudratnya masih kuat, antaranya sebagai tukang masak di kantin sekolah.

Kini kudrat si ibu tidak lagi kuat sejak diserang angin ahmar tiga tahun lalu, sekali gus menyebabkan separuh tubuh di bahagian kirinya lumpuh.

Sejak itu si ibu tidak dapat berjalan, masanya dihabiskan di atas kerusi roda, malah untuk ke tandas juga terpaksa memerlukan bantuan anak istimewanya yang ketika itu melanjutkan pelajaran.

Biarpun sudah bertahun, sehingga kini, setiausaha eksekutif di Persatuan Sukan Orang Pekak Wilayah Persekutuan, Hairul Anwar Bidi, 24, tetap bijak membahagikan masa bekerja dan menjaga kebajikan ibunya, Latipah Hanum Md Dahlan, 61.

“Rutin harian saya tetap sama seperti zaman belajar. Ini kerana mak bergantung sepenuhnya kepada saya untuk ke tandas sekiranya ingin mandi, membuang air dan memakai baju kerana separuh tubuhnya tidak dapat digerakkan.

“Justeru itu, setiap pagi saya menyiapkan sarapan dan menyempurnakan keperluannya sebelum keluar bekerja. Jika tidak, hati bagaikan tidak tenteram memikirkan mak di rumah,” tulisnya ketika ditemubual wartawan.

Menurutnya, dia sendiri tidak pernah merasa terbeban menjaga ibunya kerana ramai pihak memberi sokongan termasuk rakan serumah.

“Jika saya balik lambat, rakan serumah (Mohamad Wandi Abdul Wahab) akan tolong tengokkan mak dan menguruskan keperluannya seperti menghantar ke tandas serta memberi ubat.

“Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan teman serumah yang bukan saja dapat menerima kami berdua, malah mengambil berat mengenai mak.

“Kadang-kadang Wandi juga membelikan stok makanan dapur kerana gaji saya hanya RM500 sebulan dan hanya cukup-cukup untuk menampung kehidupan kami berdua,” katanya.

Hairul Anwar berkata, pengorbanan teman serumahnya itu menyebabkan dirinya terharu kerana biarpun tiada ikatan darah, tetapi dia langsung tidak berkira.

Menurutnya, majikan juga banyak membantu dengan memberi kelonggaran waktu bekerja efisien kerana memahami dia perlu menguruskan keperluan ibunya setiap hari.

Buat masa ini, Hairul Anwar berkata, dia terpaksa melupakan hasratnya menyambung pelajaran ke tahap lebih tinggi bagi menyara kehidupan mereka berdua.

“Saya tidak sedih tidak dapat menyambung pelajaran kerana mak adalah individu penting dalam hidup saya malah kami pernah menempuh dugaan lebih besar daripada itu sebelum ini.

“Jika diimbas, dulu kami pernah kehilangan tempat tinggal kerana masalah peribadi dan saya pula waktu itu sedang menghabiskan pengajian semester lima dalam bidang diploma perakaunan di Multimedia College Kuala Lumpur.

“Waktu itu, dengan mahu belajar lagi, menjaga mak lagi... Sungguh saya tidak tergamak meninggalkan mak di pusat jagaan orang tua kerana susah senang biarlah kami bersama dan prinsip itu saya pegang sehingga kini.

“Nasihat saya kepada orang luar, jangan sesekali abaikan orang tua kita kerana mereka bersusah payah membesarkan anak. Bagi saya, mak adalah jalan untuk ke syurga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 11:32 AM