Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Sejak sebulan ditinggalkan pemiliknya, seekor kucing kini menumpang kasih dengan tiga pemuda yang menetap di Taman Desa Kenangan, Kuala Nerang, Kedah.

Kisah kucing diberi nama Hitam itu mendapat perhatian warganet selepas salah seorang pemuda berkenaan, Mohamad Hazrin Muhamad Izham, 26, berkongsi video di TikTok.

Menerusi kapsyen rakaman video berdurasi 31 saat itu, Mohamad Hazrin meluahkan rasa kasihan kepada Hitam kerana ditinggalkan pemiliknya yang sudah berpindah sejak sebulan lalu.

Mohamad Hazrin yang bekerja sebagai pembaca meter di syarikat utiliti berkata, dia tahu kewujudan Hitam sejak mula menyewa di rumah berkenaan bersama dua rakannya pada 2019.

"Sebelum ini, saya dan rakan serumah ada melihat Hitam berkeliaran di halaman rumah ketika pemiliknya iaitu jiran kami masih ada.

"Namun, jiran kami sudah berpindah bulan lalu jadi sejak itu, Hitam terbiar tanpa pemilik.

"Keadaan itu membuatkan kami bersimpati dengan nasibnya dan mengambil keputusan memeliharanya," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Mohamad Hazrin berkata, niatnya memuat naik video Hitam sekadar untuk menceritakan perihal haiwan berkenaan dengan pengikut di TikTok.

Menurutnya, dia tidak menyangka video itu meraih tontonan yang banyak, tetapi ia mungkin kerana ramai pencinta kucing simpati dengan nasibnya.

"Setakat ini, belum ada menyatakan minat untuk memelihara Hitam, tetapi ramai mahu menyumbang wang bagi membeli keperluannya.

"Jika ada yang berminat sekalipun, saya dan rakan serumah tidak bercadang melepaskannya kerana kami sudah sayangkannya dan pasti sunyi jika Hitam tiada," katanya.

HITAM setia menanti tuannya yang berpindah sejak sebulan lalu dan kini menumpang kasih dengan tiga pemuda. FOTO Mohamad Hazrin Muhamad Izham
HITAM setia menanti tuannya yang berpindah sejak sebulan lalu dan kini menumpang kasih dengan tiga pemuda. FOTO Mohamad Hazrin Muhamad Izham

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 9:36 PM