Oleh Siti Salmiah A Hamid


Galeri Gili Fine Art membawa artis kontemporari dari Indonesia, Dirot Kadirah untuk persembahan solo ke-9 dan pembukaan pertama galeri itu di Oasis Square.

Setiap lukisan Dirot memaparkan pekerjaan nelayan dan suasana kampung kelahirannya.

Dirot sudah lama mencipta nama menerusi tema laut dan nelayan kerana dia mengakui jiwanya masih seorang nelayan.

Beliau bukan hanya bermain imaginasi kemudian melahirkannya di atas kanvas, tetapi dia pemegang watak nelayan itu-turun ke laut, menangkap ikan, melawan ombak dan pulang ke rumah dengan hasil tangkapan.

Justeru, Dirot tahu apa yang dilukisnya, perjalanan seorang nelayan kerana itu adalah pengalamannya.

Penggunaan cat minyak di atas kanvas menerusi teknik ekspresionis, melahirkan permainan warna yang mengagumkan. Beliau mengungkap suasana senja dan subuh dengan begitu ketara selari dengan bayangan nelayan dan hasil tangkapan.

Gambaran nelayan pula dilukis dengan ciri menonjol seperti berbadan tegap dan berotot mewakili masyarakat pesisir pantai itu yang mempu­nyai karakter gagah dan kuat.

Dirot yang dilahirkan di Indramayu pada 1972, menghabiskan masa di Bali dan berguru dengan pelukis realis, Soedarso serta pelukis ternama, Affandi.

Beliau sudah menjayakan lapan pameran solo dari 2004 hingga 2014 dengan mempamerkan lebih 30 lukisan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:00 AM