MAHDZIR  merasmikan portal FullAMark di SK Bukit Jelutong, Semalam.
MAHDZIR merasmikan portal FullAMark di SK Bukit Jelutong, Semalam.
Siraj Mohd Zaini


Shah Alam: Portal pendidikan dan aplikasi mobile FullAMark terbitan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid di Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong di sini, semalam.

Majlis itu dihadiri Timbalan Pengarah Pelajaran Datuk Seri Khairil Awang; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP Datuk Mohammad Azlan Abdullah dan Ahli Lembaga Pengarah NSTP Datuk Seri Subahan Kamal.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Selangor Mohd Salleh Mohd Kassim dan Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH) Datuk Mahfar Ali serta kira-kira 500 murid-murid dan guru sekolah.

Mahdzir berkata, kementeriannya menghargai usaha NSTP memperkenalkan satu inisiatif pendidikan selari dengan peredaran teknologi masa kini iaitu pembelajaran atas talian.

“Saya difahamkan, inisiatif ini diterajui akhbar BH dan New Straits Times (NST) dan saya pasti hampir keseluruhan warga pendidik dan murid-murid di negara kita ini sudah biasa dengan sisipan pendidikan keluaran BH iaitu Didik, Minda dan Skor.

“Tahniah saya ucapkan kepada Media Prima dan NSTP di atas usaha dan komitmen berterusan kumpulan media ini membantu usaha kerajaan dan kementerian meningkatkan kualiti pendidikan serta kuantiti bahan pembelajaran,” kata beliau dalam ucapannya.

Sementara itu, Mohammad Azlan berkata, portal itu adalah program pembelajaran atas talian yang dibangunkan untuk membantu pelajar mengulang kaji pelajaran selain membuat latihan intensif dan praktikal menggunakan set soalan latihan berbeza setiap minggu.

Menurut beliau, kandungan FullAMark merangkumi mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris(BI), Sains dan Matematik bagi calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) serta Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) manakala Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membabitkan mata pelajaran BM, BI, Matematik dan Sejarah.

Kata Mohammad Azlan, tarikan portal itu antaranya pelajar didedahkan dengan pelbagai soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), soalan ramalan peperiksaan UPSR, PT3 dan SPM, serta pendedahan mengenai format baru UPSR 2016.

“Portal FullAMark bukan saja mempunyai pengisian paling komprehensif, malah boleh didapati melalui telefon pintar, tablet, komputer riba dan komputer peribadi.

“Selepas membuat langganan, pelajar boleh membuat turun aplikasi ini secara percuma melalui telefon pintar atau tablet untuk membolehkan mereka mengulangkaji subjek yang dipilih pada bila-bila masa dan di mana saja,” katanya.

Dalam pada itu, pakej promosi yang ditawarkan FullAMark boleh dilanggan selama tiga bulan, enam bulan dan setahun dengan harga serendah RM30 hingga RM250.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 9:14 AM