ABDUL Jalil  (tiga dari kiri) bersama Rafiq (tiga dari kanan), Yushaimi (dua dari kanan) dan Farah (dua dari  kiri) ketika pelancaran wajah baru FullAMark dan aplikasi baru Mind Campus, semalam.
ABDUL Jalil (tiga dari kiri) bersama Rafiq (tiga dari kanan), Yushaimi (dua dari kanan) dan Farah (dua dari kiri) ketika pelancaran wajah baru FullAMark dan aplikasi baru Mind Campus, semalam.
Norhadiani Baharom

Kuala Lumpur: Interaksi secara langsung bersama tenaga pengajar yang berpengalaman, antara segmen baru diperkenalkan FullAMark bagi memantapkan kandungan portal yang menawarkan program pembelajaran secara dalam talian yang dibangunkan khusus untuk membantu pelajar melakukan latih tubi baru secara intensif dan praktikal setiap minggu.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid berkata, segmen itu membolehkan pelajar mendapatkan jawapan penyelesaian bagi setiap keraguan atau persoalan mengenai sesuatu mata pelajaran.

“Bagi pelajar yang kebuntuan menjawab soalan kertas latihan, mereka boleh berinteraksi dengan tenaga pengacara secara talian bagi mendapatkan penyelesaian kepada persoalan mereka.

“Selain segmen interaksi bersama tenaga pengajar ini dilihat sebagai tarikan baru, ruangan Latest Buzz yang memberi ruang dan peluang kepada guru serta pelajar untuk menulis catatan mereka termasuk penyusunan muka surat laman sesawang ini yang lebih sistematik, mudah dan menarik juga bakal memudahkan penggunanya,” katanya pada majlis Pelancaran Wajah Baru FullAMark dan Aplikasi Mind Campus, yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali, Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Datuk Yushaimi Maulud Yahaya dan Ketua Bahagian Pendidikan New Straits Times Press (NSTP), Farah Ezrin Mohd Rashidi.

Katanya, pendidikan sentiasa diberi keutamaan Kumpulan Media Prima Berhad malah berbangga dapat menjadi sebahagian daripada rujukan pelajar selepas lebih 30 tahun pembabitan dalam dunia pendidikan negara dari peringkat rendah, menengah sehingga pengajian tinggi.

Keistimewaan lain, FullAMark yang boleh dilayari menerusi www.fullamark.com.my turut menyediakan latihan dan rujukan mengikut format terkini peperiksaan, soalan menjurus fokus Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), kandungan pembelajaran interaktif, ‘quality dan standard’ soalan seiras kertas peperiksaan terkini, seperti diterbitkan sisipan akhbar Berita Harian yang popular (DIDIK, MINDA dan SKOR) selain boleh bertukar-tukar idea dan fikiran bersama rakan-rakan.

Portal ini menawarkan mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI), Sains dan Matematik untuk calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentafsiran Tingkatan 3 (PT3). Sementara bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terdapat subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 10:24 AM