FullAMark. FOTO ihsan Facebook
FullAMark. FOTO ihsan Facebook
Fazurawati Che Lah


PORTAL Pendidikan Interaktif The New Straits Times Press (NSTP), FullAMark menyajikan bahan pembelajaran secara digital sebagai penyelesaian terbaik untuk pelajar sempena penutupan sekolah selama empat minggu sehingga 14 April ini.

Pengurus Besar Vertikal Pendidikan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) Farah Ezrin Mohd Rashidi, berkata FullAMark menawarkan siri latihan kepada pelajar yang bakal menduduki tiga tahap peperiksaan di negara ini.

“Portal ini menawarkan siri latihan dan nota baharu setiap minggu dengan memuat naik kandungan untuk murid Tahun Lima dan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada setiap Isnin dan kandungan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada Selasa, manakala pada Rabu, kandungan untuk pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Semua bahan dimuat naik ini disediakan oleh penulis sisipan pendidikan terbitan akhbar BH iaitu Didik, Minda dan Skor serta sisipan akhbar New Straits Times iaitu School Times,” katanya.

Beliau berkata, bahan kandungan dalam FullAMark disediakan oleh sekumpulan penulis khas bagi memastikan ia selari dengan modul, silibus dan format ditetapkan Kementerian Pendidikan.

“Latihan yang disediakan adalah berpandukan penilaian terkini yang ditetapkan Lembaga Peperiksaan.

“Menerusi platform digital ini, pengguna boleh menjawab soalan peperiksaan terutama membabitkan soalan KBAT yang diuji dalam peperiksaan awam negara,” katanya.

Soalan KBAT mula dipraktikkan sejak 2014 dengan penggunaannya semakin meningkat secara berperingkat apabila sebanyak 30 peratus soalan berkenaan dicatatkan pada 2018 dan meningkat kepada 35 peratus pada 2019 bagi SPM.

Mengulas lanjut mengenai FullAMark, Farah Ezrin berkata, platform pembelajaran itu turut memberi waktu fleksibel kepada ibu bapa memantau pencapaian anak sepanjang di rumah sebagai persediaan menduduki peperiksaan.

Katanya, platform terbabit membolehkan pelajar berhubung antara satu sama lain menerusi kemudahan chat dan komen.

“Sebagai tambahan, kami turut menawarkan Kelas FullAMark yang dilancarkan pada April 2019 bagi membolehkan guru menjadi pentadbir dan fasilitator kepada pelajar masing-masing.

“Guru dapat melihat tahap pencapaian pelajar menerusi ujian dilakukan, malah mereka juga boleh menggunakan bahan sedia ada untuk menganjurkan kuiz atau mengulang kaji subjek berkaitan,” katanya.

Farah Ezrin berkata, menerusi FullAMark, pelajar boleh melakukan latihan dengan lebih kerap, selain melatih mereka menjawab soalan dalam tempoh tertentu serta mendedahkan mereka dengan soalan berkaitan KBAT.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklum balas yang amat baik daripada ibu bapa selepas anak mereka berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A dan 8A selepas menggunakan FullAMark.

FullAMark menawarkan subjek teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik untuk calon UPSR dan pelajar PT3, manakala bagi SPM, terdapat subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah. Sains dan Matematik ditawarkan dalam dwibahasa untuk semua peringkat.

FullAMark boleh dilanggan selama setahun dengan harga RM120, namun pelanggan boleh mendapatkannya pada harga diskaun iaitu sebanyak RM90 sehingga 30 April ini.

Untuk maklumat lanjut berhubung portal pembelajaran ini, boleh layari www.fullamark.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 5:46 PM