PESERTA seronok pada Program Melawat Sekolah FullAMark,    semalam.
PESERTA seronok pada Program Melawat Sekolah FullAMark, semalam.
Garret Dawum

Kuala Lumpur: Iklan yang disiarkan dalam televisyen berkenaan portal pendidikan dan aplikasi telefon pintar iaitu FullAMark membuatkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) St John (1), Aazad Shaqeel Abdullah, 11, teruja untuk mengenalinya.

Kata Aazad Shaqeel, konsep e-pembelajaran yang diperkenalkan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) itu boleh dijadikan alternatif untuk meningkatkan prestasi akademiknya dalam peperiksaan.

“Tahun depan saya akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan FullAMark ini boleh dijadikan sebagai persediaan selain mengikuti tuisyen.

“Lagipun, ayah saya ada memberitahu supaya memilih FullAMark kerana kandungannya lebih interaktif membabitkan penawaran latih tubi mata pelajaran teras,” katanya ketika ditemui selepas Program Melawat Sekolah FullAMark di sini, semalam.

Dalam program anjuran NSTP dengan sokongan Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Selangor dan Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur itu, 80 murid tahun lima SK St John (1) terbabit bagi mendapatkan pendedahan berkenaan pembelajaran dalam talian, FullAMark.

Seorang lagi pelajar, I Sudheish, 11, berkata, tawaran yang dilakukan FullAMark menyeronokkan dan dia tertarik dengan kuiz serta aktiviti dalam portal itu.

“Selepas sekolah, saya pasti melayari portal itu, malah memuat naik aplikasinya di dalam telefon pintar,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pemasaran NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi berkata, menerusi program lawatan, pihaknya mengendalikan sesi demonstrasi produk pembelajaran secara dalam talian itu di lapan sekolah terpilih di sekitar Lembah Klang bermula 9 hingga 17 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 5:23 AM