Sebahagian pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Raja Muda Seksyen 4, Shah Alam mendengar taklimat akhir menjelang UPSR.
Sebahagian pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Raja Muda Seksyen 4, Shah Alam mendengar taklimat akhir menjelang UPSR.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Kementerian Pendidikan bersama Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sudah membuat persiapan rapi bagi mengelak kejadian soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bocor berulang.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, persiapan rapi yang dijalankan pihaknya itu diharapkan dapat mengelakkan insiden soalan UPSR bocor berulang pada tahun ini, di mana murid akan mula menjalani pemeriksaan bermula hari ini selama tiga hari.

Menurutnya, tindakan sepatutnya sudah diambil semua pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan kelancaran peperiksaan UPSR.

“Malah, saya selaku menteri yang bertanggungjawab mengharapkan kerjasama baik daripada semua pihak.

“Saya juga berharap ibu bapa akan memastikan anak-anak mereka berada pada waktunya untuk mengambil peperiksaan UPSR,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke JPN Kedah, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Seri Khair Mohamad Yusof.

Kes soalan UPSR bocor menggemparkan negara tahun lalu apabila calon perlu menduduki semula kertas peperiksaan empat mata pelajaran iaitu Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil.

Sementara itu, mengulas isu kehilangan tujuh murid Orang Asli sejak 23 Ogos lalu, Mahdzir berkata, pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi tidak bertindak lewat melaporkan kehilangan mangsa kepada polis seperti didakwa sesetengah pihak.

“Sebaliknya, pihak sekolah mencari murid itu terlebih dulu sebelum membuat laporan di Balai Polis Gua Musang, yang terletak
kira-kira dua hingga tiga jam
perjalanan dari sekolah.

“Mereka (pihak sekolah) sampai di balai polis jam 12 tengah malam pada hari sama kejadian dan selesai membuat laporan polis kira-kira jam 2 pagi dan itu yang didakwa pihak sekolah lewat membuat laporan sedangkan ia dibuat pada hari sama,” katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah juga terpaksa menggunakan jalan berbukit di dalam keadaan hujan untuk sampai ke Gua Musang bagi membuat laporan polis mengenai kehilangan murid-murid itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 6:58 AM