GURU diberi penerangan oleh kakitangan NSTP pada Majlis pelancaran Program Tuisyen Online Transformasi Terengganu Baharu di Hotel Primula. FOTO Rozainah Zakaria
GURU diberi penerangan oleh kakitangan NSTP pada Majlis pelancaran Program Tuisyen Online Transformasi Terengganu Baharu di Hotel Primula. FOTO Rozainah Zakaria
Helmy Abd Rahman dan Adrian David


TERENGGANU menjadi negeri pertama menjalin kerjasama dengan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Program Tuisyen Online Transformasi Terengganu Baharu (TTB) dengan menggunakan platform FullAmark Class NSTP.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Terengganu, A Latiff Awang berkata, kerjasama berkenaan membuktikan kerajaan negeri komited untuk menjadikan negeri ini terus unggul dalam bidang pendidikan.

Katanya, NSTP dipilih berikutan keyakinan kerajaan negeri terhadap kualiti produk yang disediakan selain mempunyai pengalaman luas menghasilkan bahan rujukan untuk peperiksaan di peringkat rendah dan menengah.

“Apabila mendapat idea mengenai program ini, kerajaan negeri menerusi portfolio saya mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan sebulat suara pilih NSTP kerana mempunyai sejarah pendidikan sejak sekian lama dan terbukti membantu ramai pelajar menerusi sisipan akhbar keluarannya.

“Pelaksanaan program ini juga untuk kita memperkasakan bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) yang akan memacu negara menuju kemajuan selain untuk membudayakan murid serta pelajar dalam pembelajaran maya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada NSTP selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Tuisyen Online TTB, hari ini.

Hadir sama, Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Terengganu, Bazlan Abdul Rahman dan Timbalan Pengarah JPNT, Matsor Ismail.

Menerusi kerjasama itu, NSTP akan menyediakan 5,775 akses portal pendidikan digital FullAMark Class untuk 111 sekolah rendah dan 70 sekolah menengah di seluruh Terengganu.

Mengulas lanjut, A Latiff berkata, kerjasama berkenaan membabitkan kos keseluruhan bernilai RM300,000.

“Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman) sendiri sangat bersetuju dan menyokong idea tuisyen online ini dan kita akan lihat dulu program perintis ini, jika berjaya, kita akan teruskan dan mungkin tambah lagi peruntukan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zaini berkata, kandungan FullAmark yang dilancarkan pada 19 Mei 2016, dihasilkan mengikut konsep sisipan pendidikan keluaran akhbar BH iaitu Didik, Minda, Skor dan juga School Times, sisipan pendidikan akhbar New Straits Times.

“Pembelajaran interaktif melalui platform digital sememangnya menjadi trend masa kini sejajar dengan perkembangan teknologi komunikasi digital.

“Aspirasi kami melalui portal FulIAMark adalah untuk memperkembangkan lagi komuniti e-pembelajaran di Malaysia di samping menjadi pemangkin kepada pencapaian cemerlang akademik pelajar.

“Dengan soalan latihan yang dikemas kini setiap minggu serta mengikut sukatan pembelajaran dan penilaian terkini sejajar dengan silibus sekolah, FullAMark boleh menjadi bahan bantuan pengajaran yang berkesan kerana guru dan pelajar boleh berinteraksi pada bila-bila masa dan di mana jua, bukan hanya di dalam kelas dan sewaktu sesi persekolahan sahaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 9:23 PM