PESERTA Cosplay Run 2016 memulakan larian di Taman Wetland Putrajaya.
PESERTA Cosplay Run 2016 memulakan larian di Taman Wetland Putrajaya.
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Minat sekian lama terhadap adiwira dan karakter yang dipaparkan dalam filem dia sanggup mempelajari cara pembuatan kostum watak kegemarannya hanya dengan menonton video ditayangkan di laman Youtube.

Ternyata, pembuatan kostum adiwira dan karakter digemarinya sangat sukar kerana kerja menghasilkan disifatkan sangat leceh, memerlukan kesabaran tinggi, selain perlu peka dengan ukuran dan bentuk saiz badan.

Ini kerana, hampir kebanyakan rekaan diperoleh menerusi Internet mempunyai ukuran dan berbentuk besar berbanding saiz badan rakyat di negara ini.

Namun, berbekalkan ketekunan dan sentuhan kreativiti, Nurul Amar Othman, 30, menghasilkan pelbagai kostum adiwira setanding yang dijual di pasaran antarabangsa.

Bapa dua anak berusia dua tahun setengah dan sembilan bulan itu mempunyai tiga kostum adiwira iaitu Batman, Iron Man dan Stormtrooper iaitu karakter daripada filem Star Wars.

Nurul Amar yang juga kakitangan penyelenggaraan berkata, dia mula menghasilkan kostum serta rekaan topi keledar rekaan adiwira sejak dua tahun lalu dan menerima tempahan sekitar tahun ini.

“Penghasilannya bergantung kepada masa lapang kerana saya bekerja tetap dan pembuatan kostum ini hanya sebagai kerja sambilan.

“Sebagai contoh, saya mengambil masa tiga minggu untuk menghasilkan kostum Batman dan dianggarkan bahan diperlukan membabitkan perbelanjaan sekitar RM500 hingga RM600,” katanya pada program larian ‘Cosply Run 2016’ di Taman Wetland, di sini.

Dia yang bekerja di Pasir Gudang, Johor berkata, pembabitan secara serius dalam pembuatan kostum selepas dia menyertai program larian adiwira di Bukit Jalil tahun lalu.

“Sejak itu, saya turut menerima tempahan kostum daripada peminat lain, malah kami turut berkenalan di dalam laman sosial Facebook (FB).

“Untuk menghasilkan kostum berkenaan, saya memerlukan acuan dan rekaan menggunakan ‘pepakura’ serta bahan polimer untuk membuat kostum itu,” katanya.

Menceritakan mengenai minatnya itu, Nurul Amar berkata, dia beruntung kerana adik-beradiknya termasuk kakak turut meminati hobi berkenaan, malah mereka sering menyertai pelbagai acara membabitkan adiwira filem dan animasi bersama.

Peminat watak adiwira, Muhammad Azhari Hassan, 37, berkata, dia membelanjakan RM1,500 untuk memiliki kostum Clone Tropper kerana sangat meminati watak berkenaan yang ditayangkan menerusi filem Star Wars.

“Saya menempah kostum ini dengan Nurul Amar dikenali menerusi laman sosial FB dan buat masa ini, hanya kostum ini saya ada dan berharap dapat mengumpul lebih banyak lagi adiwira yang lain.

Seorang lagi peminat Star Wars, Nicholes Cheng, 25, yang turut menyertai larian ‘Cosply Run 2016’ dengan memakai kostum watak Kylo Ren berkata, dia membeli kostum berkenaan secara dalam talian dari China dengan harga RM180.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2016 @ 5:07 AM