SEBAHAGIAN daripada peserta yang menggayakan kostum adiwira semasa program Cosplay Run 2016 di Taman Wetland Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
SEBAHAGIAN daripada peserta yang menggayakan kostum adiwira semasa program Cosplay Run 2016 di Taman Wetland Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Kira-kira 500 peserta termasuk yang memakai kostum adiwira dan watak dari filem serta animasi menyertai acara larian 'Cosplay Run 2016' di Taman Wetland di sini, hari ini.

Larian berkenaan bermula 7.15 pagi memerlukan semua peserta berlari sejauh lima kilometer di sekitar taman berkenaan.

Pelbagai kostum yang dipakai peserta larian antaranya Clone Tropper dan Kylo Ren (Star Wars); Batman; Naruto dan Uchiha Madara (Naruto Shippuden); Supergirl dan Batgirl serta Kamen Rider Drive.

Ketua Pegawai Eksekutif Project Studio Sdn Bhd, Fahmi Moshi selaku penganjur berkata, aktiviti larian memakai kostum itu pertama kali diadakan di Malaysia.

"Acara ini adalah terbuka kepada usia 16 tahun ke atas dan tiada kategori disediakan kerana aktiviti ini adalah larian secara santai.

"Mereka yang hadir diberi kebebasan untuk memakai sebarang kostum adiwira dan watak kegemaran masing-masing," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Fahmi berkata, pihaknya berhasrat mengadakan program larian memakai kostum itu pada masa akan datang serta diadakan di negeri lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2016 @ 12:14 PM