Acryl Sani  (kanan) bersama  Ong  (dua dari kiri) dan Lee  (dua dari kanan)  ketika melawat  pameran pada majlis pelancaran kempen Pencegahan Jenayah Keselamatan Malaysia 2016.
Acryl Sani (kanan) bersama Ong (dua dari kiri) dan Lee (dua dari kanan) ketika melawat pameran pada majlis pelancaran kempen Pencegahan Jenayah Keselamatan Malaysia 2016.
myMetro

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan lebih 50 peratus jenayah yang berlaku pada tahun ini membabitkan kes kecurian harta benda.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, 22,534 daripada 38,877 kes dilaporkan sehingga April lalu yang membabitkan kejadian pecah rumah, kecurian motosikal dan kereta.

“Bagi tempoh sama tahun lalu, indeks jenayah juga meningkat 4.6 peratus dengan 58 peratus adalah kes kecurian harta benda.

“Kita dapati kes curi adalah tumpuan utama jenayah, 6,662 kes adalah pecah rumah, 12,216 pula membabitkan kecurian motosikal serta 3,656 kes pula kecurian kereta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Pelancaran Kempen dan Pameran Pencegahan Keselamatan Jenayah Malaysia kali ketujuh, di sini, semalam.

Hadir sama Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye dan Penasihat Persatuan Pakar Kunci Malaysia Tan Sri Ong Tee Keat.

Pameran itu mendapat kerjasama MCPF dan Persatuan Pakar Kunci Malaysia bagi memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai keselamatan jenayah.

Acryl Sani berkata, berdasarkan rekod jenayah, kes kecurian motosikal dan kereta menunjukkan penurunan sejak 2014 sehingga tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:14 AM