Takun (dua dari kanan) mendengar penerangan mengenai sejarah pilihan raya   anjuran Arkib Negara di Bangunan Sultan Iskandar, Kuching.
Takun (dua dari kanan) mendengar penerangan mengenai sejarah pilihan raya anjuran Arkib Negara di Bangunan Sultan Iskandar, Kuching.
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Kuching: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak dalam proses menggerakkan persiapan logistik ke 1,871 pusat mengundi di seluruh negeri.

Pengarah SPR Sarawak Datuk Takun Sunggah berkata, SPR sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) dan hanya menunggu tarikh hari penamaan calon dan pengundian.

Menurutnya, satu mesyuarat akan diadakan Khamis ini di sebuah hotel di bandar ini bagi menetapkan tarikh penting PRN-11.

“Kita tunggu keputusan mesyuarat itu. Namun, daripada aspek persiapan, semuanya berjalan lancar dan kami dalam rangka menggerakkan keperluan logistik ke semua pusat undian terutamanya di luar bandar,” katanya.

Difahamkan, SPR sudah mengenal pasti 82 pegawai pengurus pilihan raya, 82 penolong pegawai pengurus dan ketua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di 11 DUN atau kerusi baru yang bakal dipertandingkan kali ini.

DUN Sarawak secara rasmi dibubarkan semalam bagi memberi laluan kepada PRN-11 yang bakal berlangsung pada bila-bila masa.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem membuat pengumuman mengenai tarikh pembubaran DUN itu pada 31 Mac lalu.

Takun berkata, Spekaer DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar sudah menyerahkan writ pembubaran yang ditandatangani Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud pada 1 April lalu.

“Seperti yang dipersetujui Abdul Taib, DUN Sarawak dibubarkan hari ini (semalam),” katanya.

Takun turut mengingatkan parti politik di negeri ini supaya mematuhi peraturan pilihan raya dan hanya berkempen selepas hari penamaan calon.

“Parti politik yang ingin membuat perhimpunan atau berkumpul secara beramai-ramai perlu mendapat kebenaran daripada polis. Selain itu, mereka perlu mendapat kebenaran untuk menggantung poster,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Dr Jeniri Amir berkata, PRN-11 berbeza dengan pilihan raya sebelum ini.

Katanya, pada pilihan raya 2011, tarikh pembubaran DUN diumumkan pada hari sama ia dibubarkan.

Namun, katanya, pada tahun ini, pengumuman mengenai tarikh pembubaran DUN diumumkan lebih awal.

“Keputusan ini dibuat mungkin bagi memberi peluang kepada SPR untuk membuat persiapan atau mungkin strategi BN Sarawak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 9:39 AM